Diterbitkan pada 11 Mac 2026, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti perkauman tidak akan diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum di Malaysia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN , beliau menyatakan bahawa pihaknya memandang serius terhadap tiga insiden yang berlaku baru-baru ini hingga menggugat keamanan negara.

Sehubungan dengan itu, KPN menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap golongan pelampau yang cuba mencetuskan kekacauan dalam masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni.

“Saya mohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. Tindakan akan diambil terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara tanpa kompromi antara dua pihak,” ujar beliau.

Selain itu, YB Datuk Aaron Ago Dagang juga merujuk tiga insiden tular yang mencetuskan keresahan awam baru-baru ini, antaranya ialah perbuatan khianat melibatkan tiga buah kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra yang dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut memetik video tular yang memaparkan seorang lelaki bertindak memijak serta merosakkan Trisul, iaitu simbol suci agama Hindu, serta kes serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Sehubungan dengan itu, YB Datuk Aaron Ago Dagang turut mengingatkan bahawa Malaysia dibina berlandaskan asas perpaduan, sikap saling menghormati dan pemahaman terhadap perbezaan agama serta silang budaya.

“Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak bertindak secara beremosi, tidak menyebarkan spekulasi, serta sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu sensitif khususnya dalam media sosial. Sebarang perbezaan pandangan harus ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang,” tegas beliau lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi