Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu memberikan tumpuan kepada pembentukan insan sejahtera melalui pendidikan bermutu, selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di SMK Munshi Abdullah petang semalam.
Menurut beliau, perubahan dunia yang pesat khususnya dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan sistem pengaturcaraan memerlukan sistem pendidikan negara bersedia melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah perlu memiliki nilai, akhlak serta keseimbangan diri.
Katanya, perkembangan teknologi menunjukkan dunia pendidikan sedang memasuki era digital yang menuntut pendekatan pembelajaran baharu.
“Dalam RPM ini, KPM telah meneliti pelbagai data, maklumat dan pandangan pakar. Matlamat utama rancangan ini adalah untuk melahirkan insan sejahtera.
“Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebut usaha melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kita tidak mahu hanya melahirkan individu yang pandai tetapi tidak mempunyai nilai dan integriti,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan bermutu bukan sekadar menekankan pencapaian akademik, sebaliknya turut memberikan perhatian kepada pembangunan kemahiran diri, kekuatan mental, emosi serta jati diri murid.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua warga pendidikan termasuk pegawai di kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah serta sekolah agar sentiasa mematuhi dasar yang ditetapkan oleh kementerian.
Menurutnya, sekolah tidak seharusnya dibebani dengan program yang tidak memberikan impak kepada kualiti pembelajaran.
“Warga pendidik dibayar gaji bukan untuk melakukan perkara yang disukai, tetapi melaksanakan dasar kementerian. Program di sekolah perlu memberikan nilai tambah kepada pembelajaran murid serta meningkatkan kecekapan guru,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan pentaksiran dalam sistem pendidikan kini berubah selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Katanya, pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang lebih menilai potensi murid secara menyeluruh.
Menurut beliau, dalam dunia digital yang membolehkan maklumat diperoleh dengan mudah, pendidikan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan semata-mata.
“Yang pandai itu ramai, tetapi yang beradab itulah yang kita mahu gilap,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan konsep Melindungi Masa Instruksional (MMI) bagi memastikan masa pengajaran guru dan pembelajaran murid tidak terganggu dengan aktiviti yang tidak berkaitan.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan setiap murid di seluruh negara, sama ada di bandar mahupun di pedalaman, mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkualiti.
“Matlamat kita jelas, iaitu pendidikan bermutu, insan terdidik dan negara sejahtera. Semua pihak perlu memainkan peranan agar aspirasi ini dapat direalisasikan,” katanya.
Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM itu turut menghimpunkan warga pendidik, pelajar serta komuniti setempat bagi memperkukuh hubungan antara kementerian dengan masyarakat selain menyampaikan aspirasi pendidikan negara.