Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan bersetuju memperluas pelaksanaan subsidi tiket penerbangan di bawah inisiatif FLYsiswa untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengurangkan beban kos perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400.00 bagi setiap pelajar yang layak sebagai usaha meringankan kos perjalanan, khususnya bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan bantuan tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan dan keluhan pelajar berkaitan dengan kos penerbangan domestik yang sering menjadi beban kepada keluarga.
“Saya berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan mendapati banyak pelajar dari Sarawak dan Sabah perlu berulang-alik ke Semenanjung. Oleh itu, saya mengambil langkah untuk memberikan kemudahan FLYsiswa bagi membantu mereka yang terbeban dengan kos pengangkutan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.
Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2026 lalu telah meluluskan peluasan bantuan subsidi FLYsiswa kepada seluruh institusi pengajian.
Selain pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bantuan tersebut turut diberikan kepada pelajar dari institusi lain termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan, institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, serta Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).
Peluasan skop itu dijangka memberikan manfaat kepada 50 ribu pelajar pada tahun 2026, berbanding dengan 44 ribu pelajar pada tahun 2025.
Langkah tersebut dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan akses pendidikan tinggi tidak terjejas akibat kekangan kewangan, khususnya bagi pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak kerana terpaksa menanggung kos perjalanan udara yang lebih tinggi.
Selain itu, inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat serta memastikan kebajikan pelajar terus diberikan perhatian.
Dengan peluasan yang diluluskan oleh barisan Jemaah Menteri, kerajaan turut berharap agar seluruh pelajar IPT dapat menikmati kemudahan tersebut, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga mereka.