Diterbitkan pada 9 Mac 2026, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menegaskan bahawa penguasaan ilmu serta kefahaman terhadap hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga amat penting bagi memastikan hak wanita dilindungi daripada sebarang bentuk penindasan dan keganasan rumah tangga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Auditorium, Kompleks E, Putrajaya, hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau menekankan tentang kepentingan pendidikan, kesedaran undang-undang serta sokongan masyarakat dalam memperkasakan hak wanita.

Menurut YB Fadhlina Sidek, antara perkara penting yang sering diabaikan dalam perkahwinan ialah pemahaman terhadap lafaz taklik dalam sijil nikah yang merupakan janji dan tanggungjawab suami terhadap isteri.

“Dalam taklik itu jelas disebutkan bahawa tanggungjawab suami ialah memberikan nafkah, menyediakan tempat tinggal, pakaian serta melayani isteri dengan baik melalui musyawarah dengan cara yang makruf,” jelas beliau.

Beliau juga berpandangan bahawa taklik merupakan suatu bentuk perlindungan penting kepada wanita yang telah lama dilaksanakan dalam sistem perundangan Islam di Malaysia.

YB Fadhlina Sidek turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan rumah tangga, termasuk kes tragis yang melibatkan kematian wanita di tangan pasangan sendiri.

“Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi suami isteri, namun apabila terdapat kes wanita yang terbunuh di tangan suami sendiri, maka wajar kita mengambil tindakan dan perang kehabisan kemuncak keganasan,” kata beliau.

Beliau menggesa masyarakat Malaysia agar memainkan peranan sebagai saksi aktif (active bystander), iaitu individu yang berani bertindak apabila menyaksikan sebarang bentuk penindasan, keganasan atau diskriminasi terhadap wanita.

Tambah beliau, tindakan seperti merakam kejadian tanpa membantu mangsa tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya masyarakat perlu sedar dan mengambil langkah yang proaktif untuk melindungi mangsa dengan mendapatkan bantuan.

Beliau menyarankan pasangan suami isteri agar sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak yang berkelayakan dan bertauliah sekiranya berhadapan dengan kemelut rumah tangga.

“Peranan kaunselor ketika fasa ini sangat kritikal, khususnya dalam membantu dari segi sokongan emosi kepada wanita dan ahli keluarga yang terkesan dengan kes tersebut,” katanya.

Selain aspek perundangan sivil, YB Fadhlina Sidek menggalakkan golongan wanita untuk mendalami kandungan Surah At-Talaq dalam al-Quran.

“Surah tersebut menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan dengan perceraian perlu dilakukan dengan cara yang baik dan penuh ihsan, termasuk dalam soal rujuk, tempoh iddah serta tanggungjawab suami terhadap bekas isteri.

Mengulas peranan keluarga, beliau berkata ibu bapa perlu mempersiapkan anak-anak mereka, khususnya anak perempuan dengan ilmu yang berkaitan dengan perkahwinan, hak wanita serta perlindungan diri sejak awal.

“Institusi keluarga yang kukuh dibina melalui nilai ilmu, kasih sayang serta disiplin yang diterapkan secara konsisten dalam kehidupan seharian.

“Keluarga bukan sesuatu yang disiarkan untuk tontonan umum. Keluarga terbina daripada budaya, amalan, kepercayaan dan sistem sokongan yang dibentuk dalam keluarga itu sendiri,” tegas beliau lagi.

Tegasnya lagi, aspek pendidikan dan kesedaran merupakan jalan terbaik dalam menangani isu yang berkaitan dengan hak kewanitaan serta kerohanian sesebuah institusi keluarga pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sedang menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan sempena bulan Ramadan kepada ibu tunggal.

Dalam majlis yang sama, YB Fadhlina Sidek turut berkesempatan menyempurnakan penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan kepada 44 orang ibu tunggal yang turut serta dalam majlis tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi