Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mac bersama-sama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja KPDN kerana telah membantu negara dan rakyat dalam mengawal kos harga barangan dari semasa ke semasa.
“Walaupun berlakunya konflik di luar sana, kos sara hidup negara kita masih terkawal,” ujar beliau.
Selain itu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memuji pencapaian Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang mencatatkan jumlah jualan sebanyak 25,708 siri dengan transaksi jualan melebihi RM27 juta pada tahun 2025.
“Bayangkan bulan Ramadan ini sahaja, PJRM telah berlangsung sebanyak 1,328 siri dan saya dengar belum terdapat rungutan rakyat berkaitan dengan PJRM sejak program ini mula dilaksanakan. Kita juga telah mendapati jumlah barangan yang dijual di PJRM meningkat kepada minimum 50 jenis barangan,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan penguatkuasaan larangan penjualan dan pembelian minyak masak paket bersubsidi 1KG bermula 1 Mac lalu kepada bukan warganegara.
“Hal ini wajar kerana mana mungkin subsidi diberikan kepada bukan warganegara dan langkah tegas bagi membanteras ketirisan dan tindakan undang-undang yang lebih ketat akan dilaksanakan terhadap pihak yang terlibat,” tegas beliau.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua 2026 diawalkan kepada 10 Mac bagi membantu penerima membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, melibatkan peruntukan sebanyak RM 1.3 bilion.
Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 juga bakal dikreditkan pada 13 Mac 2026 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak dan akan dikreditkan pada 13 Mac 2026 ini.
“Bantuan ini termasuk kepada pesara kerajaan dan veteran yang berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM 250 pada 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan,” jelasnya lagi.
Dalam perhimpunan tersebut, beliau turut mengumumkan penyaluran sumbangan khas sebanyak RM500 pada tarikh yang sama kepada kira-kira 70,000 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut bagi menghargai khidmat mereka seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026.
Perdana Menteri turut menyempurnakan Peluncuran Aplikasi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pada penghujung majlis.