Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Negara Malaysia dan Pakistan mendesak semua pihak yang terlibat dalam konflik di Timur Tengah untuk segera menghentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.

Langkah ini dilihat sebagai usaha penting bagi memulakan semula rundingan diplomatik, sekali gus meredakan ketegangan yang kian memuncak di rantau berkenaan.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku di Timur Tengah ketika dihubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada petang semalam.

Kedua-dua tokoh itu menzahirkan kegusaran terhadap situasi yang semakin kritikal ekoran serangan ke atas Iran oleh rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada penghujung Februari lalu.

“Saya menegaskan bahawa tindakan kejam ini merupakan pencabulan kedua-dua negara terlibat (Zionis Israel dan AS) terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” jelas beliau menerusi satu hantaran menerusi laman Facebook.

Dalam perbincangan yang sama, Shehbaz Sharif turut menyentuh mengenai perkembangan konflik antara Pakistan dan Afghanistan serta pelbagai inisiatif strategik yang sedang diusahakan bagi merintis jalan penyelesaian demi kestabilan di kawasan sempadan kedua-dua negara tersebut.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa semua pihak yang terlibat dengan ketegangan yang berlaku di negara Timur Tengah perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Kredit Foto: Laman Facebook Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi