Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keyakinan beliau terhadap FELDA berada pada landasan yang lebih positif hasil usaha pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Menurut beliau, langkah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti hala tuju baharu FELDA telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan berdasarkan angka prestasi terkini, termasuk peningkatan dari segi pengeluaran hasil serta pelaksanaan program yang lebih berteraskan sistem tadbir urus yang baik.

Beliau turut memuji komitmen barisan kepimpinan, pengurusan dan warga FELDA yang menunjukkan tekad serta kesungguhan untuk mengangkat martabat organisasi itu bagi menjamin kejayaan pada masa hadapan.

“Dengan iltizam dan fokus yang jelas, kita mampu melakar sejarah baharu untuk FELDA. Kita tidak mahu lagi hanya menoleh ke belakang, walaupun sejarah lalu tetap menjadi sebahagian daripada legasi yang perlu dijadikan pengajaran,” jelas beliau ketika menyampaikan amanat dalam majlis amanat bersama-sama warga FELDA, pagi tadi.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap kementerian dan jabatan kerajaan perlu melibatkan kawasan FELDA bagi pelaksanaan projek pembangunan negara supaya komuniti tersebut tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Ujarnya, pelbagai kemudahan asas dan projek pembangunan kerajaan yang bernilai ratusan juta ringgit setiap tahun perlu disalurkan ke kawasan FELDA bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat peneroka.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menekankan keistimewaan FELDA yang bukan sahaja terletak pada sektor perladangan, malah turut memberikan penekanan pada aspek kebajikan, koperasi serta sokongan sosial yang melibatkan komuniti peneroka.

Sehubungan dengan itu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 FELDA diadakan secara besar-besaran di kawasan FELDA bagi menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, pelbagai entiti berkaitan seperti Kumpulan FGV Holdings Berhad, Koperasi Permodalan FELDA (KPF) dan entiti lain dalam ekosistem FELDA perlu dilibatkan secara langsung dalam penganjuran sambutan tersebut.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berharap agar usaha memperkukuh FELDA dapat diteruskan secara berterusan melalui kerjasama semua pihak agar organisasi tersebut kekal berdaya saing serta terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat peneroka dan pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi