Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pendaftaran prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun persekolahan 2027 kini mencecah lebih 120,000 kanak-kanak, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan awal kanak-kanak yang disediakan oleh kerajaan.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, peningkatan tersebut menunjukkan sokongan yang memberangsangkan daripada ibu bapa terhadap usaha kementerian dalam memperkukuh pendidikan prasekolah di negara ini.
Menurut beliau, kerajaan juga merancang memperluas kemudahan prasekolah dengan pembukaan kira-kira 350 buah kelas prasekolah baharu pada tahun ini bagi meningkatkan akses pendidikan awal kepada lebih ramai kanak-kanak.
“Pendaftaran prasekolah sangat memberangsangkan. Setakat ini jumlah pendaftaran telah mencecah 120,000 untuk prataska dan prasekolah. Perkara ini menunjukkan bahawa masyarakat kembali yakin kepada sistem prasekolah Kementerian Pendidikan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penerangan berkaitan dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan Program TEKAD bersempena dengan program Jaulah Ramadan Komuniti KPM peringkat negeri Pahang di SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan malam semalam.
Menurut beliau, kerajaan turut memastikan pendidikan prasekolah dapat diakses oleh semua golongan termasuk keluarga berpendapatan rendah melalui penyediaan bantuan makanan serta pendidikan prasekolah percuma.
Jelas beliau, usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak juga akan diperkasakan menerusi kajian terhadap keperluan memperkenalkan Akta Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pendaftaran bagi kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu juga telah dibuka dan akan berlangsung sehingga 31 Mac ini bagi tahun persekolahan 2027.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkenalkan pendekatan baharu sistem pendidikan bagi memastikan kanak-kanak dapat memulakan persekolahan dengan lebih awal.
Bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar, kementerian turut membuka permohonan bagi pengambilan guru secara kontrak perkhidmatan atau contract of service (COS) bermula pada awal Mac sehingga 20 Mac 2026.
Beliau berkata, setakat ini lebih 40,000 permohonan telah diterima, sekali gus menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan graduan untuk menyertai profesion perguruan.

Selain itu, kementerian juga merancang untuk membuka peluang kepada graduan yang mempunyai ijazah tetapi belum memiliki Diploma Pendidikan bagi mengikuti program latihan keguruan bermula pada April ini.
Selain itu, beliau turut menekankan usaha kementerian dalam meningkatkan mutu sekolah melalui pengenalan tiga kategori sekolah, iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi.
Menurutnya, Sekolah Fokus merujuk sekolah yang memerlukan intervensi khusus, manakala Sekolah Aspirasi berada pada tahap pertengahan dan Sekolah Inspirasi pula merupakan sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
Beliau memaklumkan bahawa jumlah Sekolah Inspirasi meningkat secara ketara daripada hanya enam buah pada tahun 2024 kepada lebih 1,400 buah pada tahun 2025 hasil pelbagai intervensi yang dilaksanakan oleh kementerian.
Dalam majlis yang sama, beliau turut memuji prestasi pendidikan negeri Pahang yang menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuklah pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah dan kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu pendidikan.
“Reformasi pendidikan hanya boleh berlaku jika perubahan berlaku di unit paling kecil di sekolah, iaitu di dalam bilik darjah. Reformasi pendidikan memerlukan semangat dan tekad guru untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan bukan lagi tanggungjawab kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan pelibatan aktif masyarakat secara menyeluruh.