Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam memantau keadaan rakyat Malaysia yang berada di negara teluk, susulan perkembangan situasi keselamatan di negara Timur Tengah yang dilihat masih terkawal dan tidak memerlukan pelaksanaan pelan evakuasi.
Rakyat Malaysia yang menetap di negara Teluk berada dalam keadaan selamat dan tidak berhadapan dengan masalah evakuasi memandangkan mereka mempunyai tempat tinggal dan kelengkapan yang mencukupi.
Demikian menurut Menteri Luar Negeri, YB Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab soalan lisan dalam Sidang Dewan Negara, Parlimen Kelima Belas Penggal Kelima Mesyuarat Pertama, pada Selasa lalu.
Namun, kebimbangan utama beralih kepada mereka yang sedang melakukan perjalanan transit seperti di Dubai, Oman, Abu Dhabi, Doha dan Jeddah.
“Walau bagaimanapun, situasi tersebut tidak dikategorikan sebagai “terperangkap” sepenuhnya kerana keadaan masih terkawal meskipun mengakui pengembara transit berdepan dengan kesulitan untuk meneruskan perjalanan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, walaupun ruang udara Arab Saudi masih dibuka, namun Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengambil pendekatan berhati-hati berikutan peningkatan ketara kos premium insurans penerbangan yang dikenakan oleh syarikat insurans susulan keadaan keselamatan di rantau tersebut.
YB Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra telah mengaktifkan Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam. Selain itu, pejabat kedutaan dan konsulat di seluruh Negara Teluk serta kawasan berhampiran sedang memantau situasi semasa dengan rapi.
Beliau turut menggesa agensi pengendali umrah untuk bertanggungjawab terhadap kebajikan jemaah masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 10 pelajar dari Jordan yang dalam perjalanan menunaikan umrah dilaporkan terkandas di Jeddah. Kumpulan pelajar tersebut kini ditempatkan di pejabat perwakilan Malaysia sementara menunggu penyelesaian lanjut diusahakan.
Beliau berkata, jumlah rakyat Malaysia yang berada di negara teluk dianggarkan sekitar 29,000 orang termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan perwakilan Malaysia di luar negara.
“Kebanyakan rakyat Malaysia di negara tersebut bekerja dalam pelbagai sektor termasuk industri penerbangan seperti di syarikat Qatar Airways, khususnya dalam bidang kejuruteraan, penerbangan serta perkhidmatan berkaitan,” tambahnya lagi.
Kerajaan turut memberikan perhatian khusus kepada individu yang sedang dalam transit atau menghadapi kesukaran mendapatkan penginapan dan penerbangan pulang menerusi rundingan sedang dijalankan bersama-sama pihak Tabung Haji untuk membantu menguruskan penempatan sementara rakyat Malaysia yang terjejas, terutamanya di Jeddah.
Pelan evakuasi belum diaktifkan buat masa ini kerana situasi di Negara Teluk masih dalam pemantauan rapi dan belum mencapai tahap yang memerlukan tindakan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di rantau tersebut sentiasa terpelihara.