Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menegaskan bahawa agenda negara tidak dapat dijayakan tanpa sokongan padu akar umbi, khususnya pelibatan aktif para guru dan ibu-bapa dalam ekosistem pendidikan negara.
YB Fadhlina Sidek turut memuji usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa kebangsaan selain memperkasakan penggunaan bahasa tersebut pada peringkat antarabangsa.
“Kita lihat DBP memainkan peranan menterjemahkan istilah baharu seperti lamb shank kepada betis kambing dan sizzling mee kepada mi desir. Ini menunjukkan usaha DBP untuk memastikan bahasa Melayu relevan dan dekat di hati masyarakat,” ujar beliau ketika menyampaikan sesi libat urus berkenaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dalam Program Jaulah Ramadan Selangor 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, semalam.
Menyentuh mengenai kerangka Ekonomi Madani, beliau menjelaskan bahawa pelan pendidikan yang sedang dirangka bukan sekadar “Rancangan Putrajaya”, malah merupakan hasil aspirasi rakyat melalui siri bengkel yang telah dijalankan.
“Ini bukan rancangan pendidikan Putrajaya dan bukan juga rancangan pendidikan daerah Gombak. Ini adalah RPM daripada rakyat untuk rakyat,” tegas beliau.
Menyentuh mengenai pendaftaran persekolahan, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap masyarakat di Selangor yang disifatkan sebagai cakna tentang pendidikan, memandangkan negeri itu mencatatkan antara angka pendaftaran kemasukan Tahun Satu yang tertinggi di negara ini.
Walau bagaimanapun, beliau menyedari bahawa wujud kerisauan dalam kalangan ibu bapa mengenai kesediaan anak-anak yang ingin memulakan pendidikan darjah satu pada usia enam tahun. Menjawab persoalan sama ada pendaftaran boleh ditarik balik sekiranya murid belum bersedia pada 4 Januari 2027 hadapan, beliau menegaskan,
“Ibu bapa boleh mendaftar anak ke sekolah pada 4 Januari 2027 seperti biasa. Kami di KPM akan sentiasa membantu dan sokong anak-anak ini sebagai ruang intervensi sebelum mereka memasuki ekosistem sekolah secara formal.”

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amiruddin Shaari yang turut hadir dalam program tersebut memaklumkan bahawa komitmen tingginya terhadap sektor pendidikan dengan menjadikannya Menteri Besar pertama di Malaysia yang memegang portfolio pendidikan secara peribadi.
“Kelebihan negeri Selangor adalah sumber manusianya. Walaupun kita mempunyai jumlah pelajar paling ramai dan sekolah yang padat, kita tetap perlu memperkasakan pendidikan untuk melahirkan modal insan yang berdaya tahan dan berkualiti,” ujar beliau.
Bagi menyokong keseimbangan antara ilmu kemanusiaan dengan teknologi, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk memperkasakan akses TVET dalam sistem pendidikan.
Berdasarkan rekod, sebanyak 4,000 orang pelajar baharu telah dilatih dalam bidang digital dan vokasional, manakala lebih 1,900 pekerja terlatih sedia ada telah menjalani latihan melalui kolaborasi bersama gergasi teknologi dunia seperti Apple, Microsoft, Amazon Web Services (AWS), dan Dassault Systemes.
YAB Dato’ Seri Amiruddin Shaari turut mengingatkan agar pengukuhan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak mengabaikan mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Dalam dunia yang penuh cabaran teknologi moden, kita tidak boleh lupakan mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu sebagai ejen penyatuan. Pendidikan mestilah seimbang antara kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan,” tegas beliau.

Pada masa yang sama, YB Fadhlina Sidek dan YAB Dato’ Seri Amiruddin Shaari berkesempatan menyantuni para pelajar SMK Sungai Pusu bagi mengeratkan ukhuwah serta memberikan galakan moral kepada para pelajar dalam mendalami ilmu sepanjang bulan Ramadan.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan sumbangan terbitan buku DBP yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Haji Mohammed yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari sebagai simbolik pelancaran majlis tersebut.

Turut berlangsung Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Didik Hibur, Encik Nasrul Khairi bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif DGI Era Sendirian Berhad, Encik Zulfikar Ali bagi memperkukuh ekosistem pendidikan negara melalui sinergi sumber dan kepakaran, khususnya dalam menyokong kebajikan pelajar serta pembangunan prasarana pendidikan digital.

Mengakhiri majlis, YB Fadhlina Sidek turut menyampaikan amanat ringkas mengenai RPM kepada para peserta yang hadir dalam program Solat Tarawih dan Moreh.
Beliau menganggap RPM sebagai dokumen “rakyat untuk rakyat” yang menjadi lonjakan transformasi penting bagi pembangunan pendidikan negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa perancangan ini bukan sekadar tentang kemasukan ke sekolah, malah melibatkan kerangka besar masa hadapan ekosistem pendidikan negara.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Pengarah Pendidikan, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Ketua-ketua Bahagian DBP serta barisan pegawai kanan KPM.