Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Kepimpinan progresif dan berwawasan Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune (SSST), YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Ikon CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) ASEAN.

Anugerah berprestij daripada Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik itu disampaikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Forum Perniagaan dan Ekonomi Sarawak 2026 di Hotel Hilton, hari ini.

Menurut YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP, anugerah itu bukan sekadar penghargaan kepada dirinya secara peribadi, malah turut menjadi milik seluruh warga kerja termasuk editor, wartawan, jurugambar serta semua yang bekerja keras di belakang tabir.

“Saya mendedikasikan anugerah ini kepada seluruh pasukan kami. Komitmen, integriti, dan semangat mereka dalam menyampaikan berita yang tepat, berimbang, serta bertangungjawab yang merupakan asas kepada segala pencapaian yang diraikan pada hari ini.

“Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk kami melangkah lebih jauh serta memperkukuh kerjasama strategik dalam komuniti perniagaan komuniti ASEAN, meneroka inovasi baharu, serta memastikan Suara Sarawak terus bergema,” jelas beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri, para pembaca dan pengiklan yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap SSST.

“Semoga kita terus bekerjasama dalam membina ekosistem perniagaan dan media yang berintegriti, progresif dan berdaya tahan demi masa hadapan Sarawak dan ASEAN yang lebih gemilang,” jelasnya lagi.

YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir turut merakamkan penghargaan khusus kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berusaha mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk sektor media dan perniagaan agar terus maju.

“Kepimpinan beliau yang berwawasan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memacu transformasi ekonomi, pendigitalan dan pembangunan mampan telah mewujudkan ekosistem yang kondusif agar sektor ini terus berkembang,” jelasnya lagi.

Dengan pengalaman selama lebih empat dekad, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir turut dikenali sebagai tokoh akademik dan penganalisis politik yang disegani. Sejak tahun 2019, beliau telah mengemudi SSST sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat Editorial Eksekutif, selain memegang tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group (SMG).

Sejajar dengan anugerah yang diterima, beliau juga memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju editorial, memperkukuh kewartawanan dan memantapkan media sebagai platform wacana awam dalam kapasiti ini.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersempena dengan Forum Perniagaan dan Ekonomi ASEAN Sarawak 2026 (ASBEF 2026).

Mendahului senarai penerima ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), YBhg. Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Hussain yang dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Perniagaan Cemerlang Seumur Hidup ASEAN.

Bagi Anugerah Usahawan Cemerlang ASEAN menyaksikan dua orang penerima, iaitu Pengarah Urusan Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak) Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Tay Tze How dan Presiden Kumpulan Perniagaan Lukiven, YBrs. Antonio Jose Moschella Gonzalez.

Selain itu, bagi sektor pembangunan modal insan pula menyaksikan Pengarah Eksekutif Sarawak, YBrs. Encik Hallman Sabri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sumber Manusia ASEAN.

Anugerah Kepimpinan Ikon CEO ASEAN turut diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Chengdu Orange Light Universe Technology Development Co., Ltd., YBrs. Jia Mei Cheng. Manakala, Pengerusi Pengasas merangkap Presiden Terra Firma Asia Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Ho Fong Lee dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Ikon CEO Perniagaan ASEAN.

Majlis turut menyaksikan Anugerah Kecemerlangan Inovasi ASEAN yang dianugerahkan kepada organisasi peneraju seperti Smart Rental, Neurogine Sdn. Bhd., Singularity Conncet, China Submarine Cable Construction Co. Ltd., Yast Group, ASTEEL Group Sdn. Bhd. dan Jiumoxa Malaysia.

Manakala, bagi kategori tajaan pula, Pengasas Kumpulan dan Pengerusi Yast, YBrs. Estehr Law Lee menerima penghargaan sebagai Rakan Strategik dan Wakil Kanan Kumpulan Rimbunan Hijau, YBrs. Chung Hon Shin menerima penghargaan sebagai Rakan Korporat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi