Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kerajaan dan pihak pembangkang disarankan untuk mengambil serius cadangan reformasi undang-undang, khususnya melibatkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya demi menjamin keadilan yang telus dan sejahtera.
Hal tersebut disuarakan oleh Penasihat Kumpulan Karangkraf, YBhg. Dato Dr. Hussamuddin Yaacub yang menekankan bahawa langkah ini perlu bagi menghapuskan persepsi “pendakwaan terpilih” yang boleh menggugat integriti sistem perundangan negara dalam Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Studio F, Karangkraf, Shah Alam, pagi tadi.
Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata, kedaulatan undang–undang yang merupakan prinsip keempat Rukun Negara perlu dijiwai sepenuhnya dalam sistem pemerintahan negara.
“Keadilan tidak sahaja perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dan dirasai oleh seluruh masyarakat. Apabila amalan pilih kasih tidak berleluasa, barulah kita benar-benar menikmati keharmonian dan kestabilan antara satu sama lain,” jelasnya.
YBhg. Dato Dr. Hussamuddin Yaacub turut menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan tanpa mengira kekayaan atau pengaruh, mereka perlu diheret ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
Selain itu, beliau menarik perhatian mengenai trend salah guna kuasa dan rasuah yang semakin berleluasa seiring dengan kecanggihan teknologi komunikasi arus pemodenan. Beliau turut mengingatkan bahawa cadangan reformasi yang dibentangkan itu merupakan hasil penyelidikan bertahun-tahun oleh pakar dan perlu mendapat perhatian pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Puan Nurhayati Nordin menegaskan bahawa pengasingan kuasa ini akan memastikan institusi pendakwaan berkhidmat kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem keadilan serta tidak melibatkan sebarang kepentingan pihak tertentu.
“Kita mencadangkan kuasa kepada Pendakwa Raya secara autonomi datang dengan kewajipan dan garis panduan seperti Akta Pemboleh (Enabling Act) dengan menyatakan kod etika yang akan membentuk keseimbangan antara kebebasan Pendakwa Raya dengan tanggungjawabnya kepada sistem keadilan negara,” katanya lagi.
Pakar Demokrasi Berperlembagaan, Puan Maha Balakrishnan pula berkata, pentadbiran pendakwaan negara sememangnya perlu bertindak secara autonomi serta bebas daripada campur tangan mana-mana pihak bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang.
Cadangan pengasingan kuasa tersebut bertujuan untuk memastikan institusi Peguam Negara bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, manakala kuasa pendakwaan diletakkan sepenuhnya di bawah pejabat Pendakwa Raya yang bebas daripada sebarang pengaruh.
Turut hadir dalam sidang media tersebut termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Encik Pushpan Murugiah; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Encik Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pengarah Eksekutif Bersih, Encik Mohammad Asraf Sharafi, serta Konvenor Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Puan Ngeow Chow Ying.