Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Nerus – Pusat Pembangunan Bakat dan Inovasi (PPBI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Siri Kerjaya Ahli Akademik bertajuk “Kenaikan Pangkat Bukan Nasib Tetapi Strategi” yang berlangsung di Dewan Dewan Persidangan 2, UMTCC, semalam.
Sesi perkongsian ilmu ini telah berlangsung hampir dua jam bermula 2:30 hingga 4:30 petang yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan, YBrs. Prof. ChM. Dr. Normah Awang dari Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam sesi perkongsian tersebut, YBrs. Prof. ChM. Dr. Normah Awang menekankan bahawa kenaikan pangkat dalam dunia akademik bukanlah bergantung pada tempoh perkhidmatan semata-mata atau nasib, sebaliknya memerlukan perancangan yang rapi, pemetaan eviden yang sistematik serta pembinaan naratif akademik yang konsisten dan jelas.

Peserta turut didedahkan kepada strategi dalam beberapa domain penting yang sering dinilai oleh panel kenaikan pangkat, iaitu penyelidikan, penerbitan, pengajaran, kepimpinan akademik serta penyediaan dokumentasi sokongan yang berkualiti.
Menerusi pendekatan yang reflektif dan praktikal, para peserta telah dibimbing untuk menilai hala tuju kerjaya masing-masing, di samping merangka pelan tindakan strategik yang lebih terancang dan berimpak tinggi.
Program ini menjadi lebih menarik apabila peserta turut berpeluang mengajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan cabaran dalam proses kenaikan pangkat, pengurusan portfolio akademik, serta cara membina profil akademik yang lebih kukuh.
Pihak PPBI juga berharap agar program seumpama ini dapat membantu ahli akademik UMT membangunkan kerjaya secara lebih strategik, sistematik dan berfokus, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan reputasi institusi.

Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif berterusan pihak PPBI dalam memperkasakan pembangunan kerjaya staf akademik UMT menerusi latihan dan perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan semasa.
Program ini turut dihadiri oleh ahli akademik UMT dengan kapasiti terhad, iaitu sebanyak 80 peserta bagi memastikan sesi perkongsian berjalan secara lebih interaktif dan bermakna.