Diterbitkan pada 10 Februari 2026, 18:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kepantasan untuk belajar dan keberanian untuk melakukan anjakan drastik menjadi teras utama dalam mendepani cabaran ekonomi digital masa kini.

Perkara ini ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas syarikat telekesihatan Naluri, YBrs. Encik Azran Osman Rani, semasa Program Bicara Intelektual 2026 anjuran Kementerian Perpaduan yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pagi tadi. Beliau berkongsi pengalaman luasnya dalam membina syarikat gergasi seperti AirAsia X dan iFlix bagi memberi inspirasi mengenai kepimpinan intelektual dalam era inovasi.

Encik Azran menjelaskan bahawa saiz sesebuah syarikat bukanlah penghalang utama untuk bersaing dengan gergasi global.

“Permulaan iFlix yang hanya dianggotai lima orang di sebuah kedai kopi berjaya berkembang ke peringkat antarabangsa dalam tempoh tiga tahun sehingga mampu menarik sebanyak 20 juta pengguna. Kejayaan tersebut menurut beliau berakar daripada prinsip untuk sentiasa berfikir cara bergerak lebih laju dan belajar lebih banyak berbanding dengan syarikat gergasi sedia ada,” ujar beliau.

Kini, melalui Naluri, beliau meneruskan misi yang sama dalam industri kesihatan digital dengan menyediakan perkhidmatan kepada lebih sejuta kakitangan syarikat di Asia Tenggara.

Dalam ucapannya, beliau menggariskan empat kesilapan minda yang sering menghantui organisasi tradisional dalam mendepani teknologi.

Kesilapan pertama adalah sikap tidak bersedia atau terperangkap yang menyebabkan syarikat tertinggal di belakang teknologi pantas, seumpama kemunculan WhatsApp yang meranapkan model perniagaan sistem pesanan ringkas (SMS).

Seterusnya, beliau menyentuh mengenai ketakutan mengambil risiko yang menghalang pelaksanaan idea inovatif kerana terlalu bimbang akan risiko kecil yang belum tentu berlaku.

Kesilapan ketiga pula melibatkan kebergantungan kepada projek perintis semata-mata tanpa melakukan perubahan struktur asas perniagaan. Beliau memberikan contoh kemerosotan nilai saham Astro sehingga 97 peratus.

Akhir sekali, beliau mengingatkan bahawa sekadar menukarkan proses manual kepada bentuk digital seperti PDF tanpa inovasi perkhidmatan bukanlah satu transformasi yang sebenar.

Sebagai alternatif, Encik Azran mencadangkan empat kaedah perancangan yang lebih dinamik dengan memberikan tumpuan kepada kualiti pekerja berbanding dengan ketetapan rancangan tahunan yang kaku.

Organisasi disarankan untuk memulakan 100 idea kecil dengan modal rendah bagi mengenal pasti potensi sebenar sebelum melabur dengan lebih besar. Beliau juga menekankan tentang kepentingan data dalam menilai sesebuah inovasi, serta teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan produktiviti pakar sehingga sepuluh kali ganda.

“Di Naluri, penggunaan AI membolehkan seorang ahli psikologi membantu sehingga 700 individu sebulan berbanding dengan kaedah tradisional yang terhad kepada 60 orang sahaja,” tambah beliau.

Encik Azran mengakhiri bicaranya dengan menitipkan pesanan supaya setiap pemimpin tidak mudah berpuas hati dengan penggunaan alat digital semata-mata. Beliau menegaskan bahawa inovasi sebenar berlaku apabila sesebuah organisasi mampu mengubah secara drastik kaedah perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan.

Kredit Foto: Perpustakaan Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi