Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Perlis menerima peruntukan berjumlah RM17,322,905 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan MARA Negeri Perlis tahun 2026 bertujuan untuk memperkasakan ekosistem keusahawanan bumiputera di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan peruntukan tersebut oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Zulfikri Osman kepada Pengarah MARA Negeri Perlis, Encik Mohd Azam Jamaluddin pada majlis Santapan Malam sempena Program Konvoi Gemilang 60 Tahun MARA yang berlangsung di Arked MARA, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, DAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Program Pembangunan MARA Negeri Perlis memberikan penekanan terhadap pengukuhan keupayaan usahawan bumiputera melalui pelbagai inisiatif strategik merangkumi bidang digital, teknikal, dan runcit, sejajar dengan keperluan pasaran semasa. Antara program utama yang dilaksanakan termasuklah program BizStart, latihan pendigitalan perniagaan, serta pembangunan vendor industri, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik.
Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat memastikan usahawan bumiputera di Perlis terus berdaya saing, mampan, berupaya berkembang, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin mencabar.

Pada masa yang sama, majlis turut meraikan perpisahan Mohd Azam Jamaluddin yang telah berkhidmat di Perlis sejak 4 April 2022 hingga 13 Februari 2026 berpindah atas kenaikan pangkat sebagai Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan, Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur yang akan berkuat kuasa pada 16 Februari 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah MARA, Encik Zahari Aziz, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi Ibu Pejabat MARA dan MARA Negeri Perlis, ketua jabatan dan agensi negeri.