Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan bahawa golongan intelektual muda dan barisan pentadbir Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memikul amanah besar bukan sekadar memahami dasar dan aspirasi negara, tetapi menterjemahkannya kepada tindakan berimpak demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
Beliau menegaskan pembangunan bakat kepimpinan muda berteraskan gagasan “Brain of the Nation” terus menjadi teras Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan generasi akademik dan pentadbir masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang secara intelektual, tetapi juga mempunyai nilai dan adab yang mengangkat ilmu itu menjadi lebih bermakna.
“Pensyarah perlu berani mencabar kerangka lama, berfikir secara strategik dan ambil tindakan. Kepimpinan bukan hanya tentang ilmu, tetapi keberanian untuk bertindak demi perubahan positif,” ujar beliau dalam Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 Peringkat Zon Utara, anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang berlangsung di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) pada hari ini.
Dalam sesi dialog terbuka, beliau turut menyeru kepimpinan muda IPT agar berani mencabar kerangka pemikiran tradisional, bersikap adaptif dan sentiasa sedia menyesuaikan diri dengan perubahan, demi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing dan kompetitif di peringkat global.
Program siri Kembara KARISMA ini diadakan bertujuan untuk membina keyakinan peserta dalam membuat keputusan, meningkatkan kepekaan terhadap isu sosial, mendorong kreativiti dan inovasi, serta membentuk mereka sebagai agen perubahan.
Oleh itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menekankan bahawa kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama semua pihak.
Program ini telah menghimpunkan seramai 300 orang pemimpin muda IPTA Zon Utara, yang mewakili negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Peserta terdiri daripada pensyarah IPTA Zon Utara serta wakil dari Politeknik dan Kolej Komuniti. Kehadiran mereka membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan, membina jaringan profesional serta memperkukuh peranan mereka sebagai agen perubahan di institusi masing-masing.
Interaksi antara peserta dari pelbagai institusi turut membolehkan pertukaran idea dan pengalaman secara menyeluruh, menjadikan program ini pengalaman yang bernilai dari segi pembangunan profesional dan kepimpinan.
Sesi program dikendalikan oleh Champion KARISMA Zon Utara, pakar dan pensyarah yang membincangkan kupasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 mengenai kepimpinan generasi muda IPT. Antara fokus utama pengisian ini termasuklah pembangunan nilai MADANI, kreativiti, inovasi strategik dan persediaan menghadapi cabaran global.
Selain itu, pensyarah dan pakar IPT Zon Utara berkongsi pengalaman pengurusan dan strategi kepimpinan akademik, memberi peluang peserta membina jaringan profesional, berkongsi cabaran dan mencari penyelesaian secara kolektif.
Program ini juga berfungsi sebagai wadah interaksi strategik yang penting untuk merapatkan jurang komunikasi antara Kementerian dan warga IPT di lapangan, sekali gus memperkukuh kefahaman dua hala dalam pelaksanaan agenda pendidikan tinggi negara.
Siri kembara ini akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, serta Sabah dan Sarawak, sebelum mencapai kemuncaknya menerusi Konvensyen KARISMA pada penghujung tahun ini, sekali gus menegaskan komitmen berterusan KPT dalam membangunkan generasi pemimpin muda yang cemerlang, beretika dan berdaya saing pada peringkat global.