Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa perkhidmatan awam tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah melibatkan isu salah guna kuasa dan rasuah.
Kenyataan tegas ini dikeluarkan susulan isu tangkapan dan siasatan yang melibatkan penjawat awam, khususnya pada peringkat pengurusan tertinggi kerajaan yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri menyatakan komitmen penuh pihak perkhidmatan awam untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil bagi semua pihak yang terlibat.
Beliau turut menekankan bahawa prinsip menolak kecurangan tatakelola adalah selaras dengan ikrar Rukun Negara dan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI. Langkah tegas ini penting bagi memastikan kredibiliti institusi teras negara tidak terhakis di mata rakyat.
“Nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara, serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Tindakan undang-undang akan diambil mengikut lunas perundangan yang ditetapkan sekiranya mana-mana individu didapati bersalah dalam siasatan berkenaan.