Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac 2026.
Menerusi kenyataan KPM, proses pendaftaran boleh dibuat menerusi Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) melalui Sistem Pengurusan Identiti (idMe) di pautan https://idme.moe.gov.my.
Pendaftaran ini terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia bagi kohort umur enam tahun ke atas yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021, serta kohort umur tujuh tahun ke atas yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Langkah ini selaras dengan keputusan kerajaan yang membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun ke atas memasuki Tahun 1 bermula 2027 secara sukarela tanpa perlu menduduki sebarang ujian saringan.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun idMe lebih awal, mengemas kini maklumat peribadi serta mengemukakan permohonan melalui MOEIS dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
Menurut KPM, inisiatif menggalakkan kemasukan kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas bagi memasuki Tahun 1 merupakan langkah progresif selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI memastikan perkembangan menyeluruh, kesejahteraan kanak-kanak serta mengelakkan mereka tercicir daripada sistem pendidikan formal.
Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran boleh diperoleh menerusi portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.