Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan kebajikan universiti dengan melancarkan kempen kutipan dana khas bagi pembelian sebuah bas baharu serta penambahbaikan kemudahan di kampus berkenaan yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Kebun Bandar Sungai Bunus (KBSB), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Inisiatif tersebut bertujuan menyokong keperluan mobiliti pelajar dan staf, selain memperkukuh pelaksanaan aktiviti akademik serta kokurikulum di UiTM Cawangan Perlis. Usaha ini dilihat sebagai bukti komitmen berterusan alumni dalam menyumbang kembali kepada institusi dan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Pada majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut menyempurnakan Upacara Penanaman Pokok Harumanis Perlis di plot Sungai Angkat KBSB. Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Kayuhan Berbasikal bersama Tuanku Raja Muda Perlis anjuran Persatuan Alumni UiTM Perlis dengan kerjasama ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus dan TTG KL.

Baginda turut meluangkan masa meninjau aktiviti perkebunan yang dikelolakan oleh pemegang taruh kebun bandar berkenaan, yang turut mendapat sokongan daripada warga Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPMWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Keberangkatan baginda turut diraikan oleh warga PPMWPKL.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil; Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin; Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Nizan Mat Noor; serta Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.

Inisiatif sumbangan dana ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara alumni, pihak universiti dan masyarakat, sekali gus memastikan kesejahteraan warga kampus terus terjaga melalui kemudahan yang lebih mampan.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi