Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini melancarkan agenda transformasi paling menyeluruh dalam sejarah pendidikan negara melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM 2026–2035). Pelan induk yang dirangka bagi tempoh sepuluh tahun ini merupakan penzahiran konsep akal budi bangsa (The Brain of the Nation) dalam menentukan hala tuju peradaban Malaysia di persada global.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026, menegaskan bahawa buat pertama kalinya, KPT dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama untuk mewujudkan satu kesinambungan sistem pendidikan yang holistik, bermula dari peringkat prasekolah hingga menara gading.

Menurut beliau, RPTM 2026–2035 didorong oleh tiga matlamat utama yang menjadi tunjang kepada semua inisiatif masa hadapan, iaitu berpaksikan kemanusiaan (humanity centric), dipacu oleh hala tuju yang jelas (purpose driven) dan pemerkasaan pembinaan negara bangsa (nation builders).

“Jika dilihat secara objektif untuk 10 tahun akan datang dengan sistem pendidikan tinggi yang ada, asas [pelaksanaan RPTM 2026–2035] mesti berasaskan kemanusiaan. Jika hanya ada sistem tetapi tiada penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat seperti isu pekerjaan, bagaimana graduan hendak memastikan sama ada mereka akan mendapat gaji yang bermaruah, dan jawapan bagi persoalan itu ada diterangkan secara terperinci dalam pelan ini,” ujar beliau dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut mengulas bahawa sistem pendidikan perlu melahirkan insan yang mempunyai karakter dan nilai kemanusiaan yang tinggi, selain tenaga kerja mahir.

Mengulas lanjut, beliau menekankan penyelesaian masalah sebenar dalam masyarakat melalui ilmu yang diaplikasikan, termasuklah jaminan kerjaya dan gaji premium bagi graduan. Selain itu, melalui RPTM 2026–2035, universiti akan turut diperkasakan sebagai institusi yang membentuk masa hadapan anak bangsa dan kedaulatan negara.

Beliau turut menyifatkan RPTM 2026–2035 ini sebagai sebuah dokumen hidup dinamik dengan pengisian yang akan sentiasa ditambah baik mengikut tuntutan teknologi dan perubahan zaman seperti kepantasan evolusi kecerdasan buatan (AI).

Satu daripada pembaharuan inovatif yang diperkenalkan oleh KPT ialah sistem Bank Kredit Akademik. Inisiatif ini menawarkan fleksibiliti luar biasa kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan mengikut tempo kendiri.

“Di bawah sistem ini, pelajar tidak lagi terikat dengan tempoh pengajian konvensional yang kaku. Sebagai contoh, seorang pekerja boleh mengambil subjek tertentu di universiti, menyimpan kredit yang telah lulus, dan menyambung pengajian semula pada masa hadapan sehingga mencukupi syarat untuk penganugerahan ijazah atau diploma. Inisiatif ini memberikan ruang kepada konsep unbundling education yang membolehkan pembelajaran sepanjang hayat menjadi realiti,” ujar beliau.

Selain itu, KPT akan menganjurkan University Research and Innovation Investment Summit. Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara hasil kajian universiti dengan dunia pelaburan industri. Matlamatnya adalah untuk memastikan ribuan hasil penyelidikan akademik tidak terbiar di perpustakaan, sebaliknya dikomersialkan untuk memacu ekonomi negara.

KPT turut membawa anjakan paradigma terhadap sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui evolusi Politeknik Premium. YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa pendidikan politeknik tidak lagi boleh dianggap sebagai “pendidikan kelas kedua”.

“Sebanyak 10 buah politeknik terpilih akan dinaik taraf kepada status premium, yang membolehkan institusi tersebut menawarkan program pengajian sehingga peringkat ijazah dalam bidang teknologi tinggi seperti AI dan maritim. Langkah ini selaras dengan konsep applied knowledge yang semakin mendapat tempat dalam industri global,” tambah beliau.

Di sebalik perancangan akademik yang besar, KPT tidak melupakan aspek kebajikan mahasiswa melalui prinsip Kerajaan MADANI. YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry memaklumkan bahawa Program Dapur Siswa akan menerima suntikan tambahan sebanyak RM15 juta bagi memastikan tiada mahasiswa yang terpinggir dari aspek pemakanan asas. Program lain seperti FlySiswa dan Bantuan Sulung juga diteruskan bagi memastikan anak-anak daripada keluarga B40 dan miskin tegar mempunyai akses yang adil kepada pendidikan tinggi tanpa alasan kekangan kewangan.

FlySiswa merupakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, manakala Bantuan Sulung pula ialah pembiayaan pendidikan kepada individu pertama daripada keluarga B40 yang diterima melanjutkan pelajaran tertiari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi