Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan ketegasan baginda dalam memerangi amalan rasuah serta menetapkan hala tuju negara yang jelas menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dalam Titah Diraja bersempena dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bagi Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang berlangsung pagi tadi.
Sultan Ibrahim memulakan titah dengan mengucapkan tahniah atas kejayaan Malaysia memegang mandat sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Baginda turut memuji ketahanan ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.7 peratus meskipun berdepan dengan cabaran global, dengan kadar pengangguran dan inflasi yang kekal rendah, manakala kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus.
Menyentuh mengenai RMK-13, Seri Paduka Baginda mahu rancangan tersebut memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam sektor pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam. Namun begitu, baginda mengingatkan bahawa segala perancangan tersebut tidak akan sempurna jika amalan rasuah terus berleluasa.
Sultan Ibrahim dengan tegas menyatakan bahawa baginda datang ke Kuala Lumpur dengan matlamat untuk memburu perasuah dan menyifatkan usaha tersebut telah menampakkan kejayaan. Baginda melahirkan rasa kecewa berhubung dengan kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia yang melibatkan peringkat tertinggi.
Baginda turut memberi amaran bahawa pendedahan sedia ada hanyalah sekelumit daripada isu yang lebih besar dan menegaskan individu di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis, malah di dalam Dewan Rakyat sekalipun, akan terus diburu.
Baginda menggesa rakyat menjadi mata-mata untuk melaporkan jenayah rasuah dan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas tanpa mengira pangkat, termasuk menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas mahkamah bagi mempercepat kes rasuah.
Baginda turut menyentuh ancaman moden seperti keselamatan digital, integriti maklumat dan teknologi deepfake yang mampu menggugat kestabilan sosial.
Seri Paduka Baginda mahu isu berkaitan 3R (Agama, Bangsa, Raja) ditangani dengan berkesan dan mengesyorkan undang-undang keselamatan negara serta ancaman luar diwujudkan segera demi memelihara keharmonian kaum.
Dalam usaha memperkukuh demokrasi, baginda mengalu-alukan langkah reformasi seperti mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Ombudsman.
Mengenai sistem pendidikan, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa pendidikan awam mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Baginda menitahkan bahawa sebarang pengiktirafan sistem pendidikan lain wajib menerima bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia, sambil menegaskan individu yang tidak menerima Bahasa Melayu “lebih baik jangan duduk di Malaysia”.
Mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia adalah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Baginda menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat agar tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah serta menghormati hak-hak negeri tanpa mengetepikan kepentingan nasional.
Baginda mengingatkan semua wakil rakyat bahawa setiap keputusan di dalam dewan bakal menentukan masa hadapan negara dan harus dilaksanakan dengan penuh amanah demi kepentingan rakyat.