Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan bakal melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, sebuah pelan strategik bersepadu yang akan mencorakkan hala tuju ekosistem pendidikan Malaysia untuk tempoh satu dekad akan datang.
Majlis pelancaran RPN 2026–2035 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa, 20 Januari ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
RPN 2026–2035 merupakan inisiatif kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Kementerian Pendidikan (KPM) yang bertujuan untuk memastikan kesinambungan pembangunan modal insan yang lancar, bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke menara gading.
Menurut kenyataan KPT hari ini, RPN 2026 – 2035 merupakan iltizam kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing pada peringkat global.
Dalam kenyataan tersebut, KPT menyatakan bahawa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 –2035 akan menjadi dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“RPTM 2026–2035 berfungsi sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi). RPTM 2026 – 2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8226 pihak berkepentingan yang merangkumi para sarjana, tokoh akademik, institut pengajian tinggi awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.
Sebagai sebuah dokumen yang bersifat dinamik, RPTM 2026 – 2035 direka agar fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
“Fokus utama pelan ini merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat. Integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan.”
RPTM 2026–2035 turut menekankan keterangkuman akses serta pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau.
Pada peringkat KPM pula, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 – 2035 yang bakal dilancarkan akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan sekolah selaras dengan visi “Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”.
Rancangan ini digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi yang memberikan penekanan kepada akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana serta pengukuhan tadbir urus.
Pelaksanaan RPTM 2026 – 2035 dan RPM 2026 – 2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026 – 2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.