Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sebanyak 5,819 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menamatkan persekolahan bagi Sesi Akademik 2025/2026 layak menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM).
Keputusan ini susulan kejayaan pelaksanaan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang telah selesai sepenuhnya pada 10 Disember tahun lalu.
Para calon yang layak boleh mendapatkan sijil masing-masing pada 20 Januari 2026 (Selasa) bermula pukul 10.00 pagi di sekolah masing-masing.
KPM menjelaskan bahawa jumlah penerima ini melibatkan calon daripada 896 buah sekolah di seluruh negara. Pencapaian ini merupakan manifestasi kejayaan murid-murid berkenaan dalam menamatkan kitaran persekolahan menengah mereka melalui platform pentaksiran yang terangkum.
“KPM mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang layak menerima SASM bagi Sesi Akademik 2025/2026. KPM kekal komited untuk memastikan akses pendidikan yang adil, saksama dan inklusif selaras dengan hala tuju serta aspirasi pendidikan negara,” jelas kementerian dalam satu kenyataan petang semalam.
Penghasilan SASM ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM dalam memperkasakan pendidikan khas, memastikan setiap bakat murid diiktiraf tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal dan kognitif mereka.