Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM8,439,900 bagi program Bantuan Persekolahan 2026, yang menyasarkan sebanyak 12,057 pelajar asnaf di seluruh negeri Perlis tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di perkarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, menjelaskan bahawa setiap pelajar menerima bantuan berjumlah RM700 seorang. Agihan ini dibahagikan mengikut struktur berikut bagi memastikan keperluan pelajar dipenuhi secara menyeluruh, iaitu sebanyak RM300 (sumbangan kelengkapan sekolah), RM300 (aktiviti kecemerlangan pendidikan dan pembangunan sahsiah) dan RM100 (sumbangan tunai secara terus).
Daripada keseluruhan dana tersebut, sebanyak RM5,232,500 diperuntukkan kepada 7,475 pelajar sekolah rendah, manakala RM3,207,400 disalurkan kepada 4,582 pelajar sekolah menengah.
Menurut Mohd Nazim, bantuan ini merupakan langkah berterusan MAIPs dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, sekali gus memastikan kebajikan pendidikan golongan asnaf tidak terabai.
“Pendekatan agihan berstruktur ini bertujuan memastikan keperluan asas, pembangunan potensi akademik, serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf dapat diperkukuh secara menyeluruh,” katanya.
Proses pemilihan penerima dilaksanakan secara telus melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis. Data penerima disahkan melalui sistem maklumat dalam talian bagi memastikan bantuan sampai tepat kepada golongan sasar.
Bagi memperkemaskan lagi pelaksanaan, MAIPs turut melantik Guru Muraqib Amil di sekolah untuk membantu mengenal pasti pelajar asnaf yang benar-benar layak, bagi memastikan tiada murid yang tercicir daripada menerima bantuan ini.
MAIPs optimis bahawa inisiatif ini akan memperkasakan agenda pendidikan di Perlis dan menjamin masa depan anak-anak asnaf agar terus cemerlang tanpa kekangan kewangan.