Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Konsep perpaduan nasional perlu diperkukuh melalui amalan toleransi dan hormat menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baginda berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Behor Pulai, Kangar baru-baru ini. 

Menurut baginda, penerapan nilai-nilai ini dapat meningkatkan kesepaduan sosial, membina hubungan yang harmoni serta merealisasikan aspirasi negeri dan negara yang bersatu padu.

“Pada masa yang sama, para pemimpin di semua peringkat perlu bertindak secara proaktif untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat,” titah baginda sambil menekankan kepentingan untuk sentiasa menghargai dan memelihara keamanan serta keharmonian yang telah dibina.

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan program kebajikan berkonsepkan aktiviti berbasikal yang digabungkan dengan misi menyantuni asnaf di seluruh Perlis.

Antara objektif utama program Kayuhan MAIPs Peduli termasuklah menjejaki golongan asnaf untuk menyampaikan bantuan zakat seperti wang tunai, bakul makanan dan bantuan khas MAIPs, selain mengukuhkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan MAIPs dalam menjaga kebajikan umat Islam. 

Penerima bantuan program Kayuhan MAIPs Peduli menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras.

Bersempena dengan aktiviti tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf, iaitu Meriyam Mat, 56, dari Kampung Guar Syed Alwi; Mohd Fairol Azman Ishak, 47, dari Kampung Sungai Bakong serta Mohammad Bakri Ahmad, 41, dari Kampung Behor Gandil. 

Setiap penerima mendapat bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban keperluan harian mereka.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi