Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah apabila tersenarai dalam 100 institusi terbaik dunia yang berada pada kedudukan ke-94 menerusi UI GreenMetric World University Rankings 2025.
Dengan lonjakan 13 anak tangga, UiTM berada dalam kelompok lima peratus universiti teratas dan mencapai kedudukan kelima pada peringkat nasional. Hal ini merupakan pencapaian terbaik UiTM sejak penyertaan pertamanya pada tahun 2019.
Prestasi cemerlang UiTM pada tahun ini diperoleh melalui skor tertinggi dalam dua kategori, iaitu Pengurusan Air dan Pengurusan Sisa yang mencerminkan komitmen universiti terhadap pengurusan sumber yang mampan serta pelaksanaan inisiatif hijau secara menyeluruh di kampus.

Edisi 2025 turut mencatatkan penyertaan tertinggi dengan pelibatan sebanyak 1745 buah institusi antarabangsa dan sebanyak 91 institusi tempatan, sekali gus menjadikan pencapaian UiTM lebih signifikan.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ini yang telah meletakkan nama UiTM di persada dunia.
“Alhamdulillah, pencapaian tersenarai dalam 100 institusi terbaik dunia ini menjadi bukti dedikasi UiTM terhadap kelestarian serta usaha bersama seluruh warga UiTM. Kejayaan ini akan terus memacu kita untuk memperkukuh inisiatif bagi menyokong aspirasi kemampanan global,” ujarnya.
Beliau berkata, UI GreenMetric World University Rankings menilai komitmen universiti terhadap pembangunan kampus hijau dan kemampanan alam sekitar. Penilaian dijalankan berdasarkan enam kategori utama, iaitu Infrastruktur dan Persekitaran, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.
Justeru katanya, pencapaian UiTM ini bukan sekadar peningkatan dalam penarafan, malah menandakan langkah penting universiti untuk memperkukuh inisiatif hijau dan kedudukannya sebagai peneraju kelestarian bertaraf dunia, selaras dengan piawaian pendidikan tinggi global dan aspirasi negara.