Diterbitkan pada 9 Disember 2025, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai berkenan berangkat menyaksikan Teater Monolog Karya Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipentaskan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah JKKN Perlis, YBrs. Encik Shahrizal Abdan.

Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Warisan Budaya Melayu dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mengangkat karya seni golongan OKU ke pentas arus perdana.

Pementasan tersebut menampilkan monolog berdasarkan kisah benar yang digarap oleh seniman OKU daripada pelbagai latar belakang itu sarat dengan emosi, perjalanan hidup, kecekalan serta perjuangan mereka untuk terus berkarya dalam dunia seni.

Sepanjang aksi di atas pentas, para pelakon tampil dengan penyampaian yang jujur dan menyentuh hati, menjadikan persembahan tersebut bukan sekadar karya teater, malah sebagai manifestasi kekuatan, keberanian dan semangat perjuangan golongan OKU dalam mendepani cabaran hidup.

Antara pelakon yang terlibat ialah Ameera Ramlee (OKU penglihatan), Salman Al-Farisi (OKU fizikal), Saiful Khairi Ahmad (OKU fizikal), Shahriza Mahmud (OKU saraf),Rahmat Hj. Mohd Noh (OKU fizikal) dan Jasmi Abas (OKU fizikal), yang masing-masing membawakan kisah, karakter dan jiwa yang unik, menyentuh perasaan penonton serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

Turut hadir dalam pementasan teater Monolog termasuklah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Haji Mohd Shukri Ramli, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Senidan Budaya, YB Encik Abu Bakar Hamzah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi