Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Kesedaran terhadap kepentingan penguasaan bahasa asing dalam kalangan generasi muda terus diperkukuh apabila Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh melalui kerjasama Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah (SMAS) menganjurkan program Jendela Dunia Bahasa Antarabangsa, yang melibatkan lebih 150 pelajar dan sebanyak lapan penceramah.

Program yang berlangsung pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu memberikan pendedahan kepada pelbagai bahasa antarabangsa seperti Mandarin, Korea, Jepun dan Perancis melalui sesi interaktif, bengkel mini, perkongsian inspirasi serta aktiviti pembelajaran santai.

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMAS, YBrs. Ustaz Lukman Md. Sawari, inisiatif ini bukan sahaja mengisi ruang akhir kalendar akademik, malah menjadi platform membentuk pemikiran global pelajar berteraskan nilai Islam.

“Pembelajaran bahasa asing membuka pintu kepada ilmu, hubungan antarabangsa dan memberikan pendedahan kepada pelajar untuk meneroka pembelajaran di alam universiti kelak,” jelasnya.

Program ini turut mengintegrasikan kerangka pendidikan antarabangsa dan nasional, antaranya termasuklah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Pada masa yang sama, elemen Maqasid Syariah, iaitu Hifz al-Aql (Pemeliharaan Akal) dan Hifz al-Ummah/Nasl, diterapkan bagi memastikan penguasaan bahasa menjadi teras pembangunan ummah yang berdaya saing dan berpaksikan identiti Islam.

Pelajar turut diberi peluang mempraktikkan perbualan ringkas, permainan bahasa serta kuiz budaya dalam bengkel mini yang dikendalikan penceramah dari pelbagai latar belakang bahasa.

Seorang peserta Tingkatan 4 meluahkan rasa terujanya selepas mencuba beberapa bahasa buat pertama kali.

“Selama ini saya hanya mendengar tentang bahasa Korea dan Mandarin melalui drama atau media, tetapi pada hari ini saya dapat mencuba sendiri. Seronok dan membuka mata,” katanya.

Kejayaan penganjuran pada kali ini, UIAM Pagoh dan SMAS akan terus komited bagi memperkukuh kerjasama pendidikan bahasa antarabangsa ke arah melahirkan modal insan berkemahiran komunikasi global dan beridentiti Muslim yang unggul.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi