Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa hubungan strategik antara Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) dengan institusi agama, pendidikan dan Kerajaan Negeri Perlis perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan masyarakat dapat dipacu secara sistematik, berteraskan ajaran Islam yang murni serta bebas daripada unsur ekstremisme, perpecahan dan salah faham antara masyarakat.

Demikian titah baginda ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan MILAD UMAM yang Ke-4 yang berlangsung di Kangar, baru-baru ini.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, universiti muda yang telah memasuki usia empat tahun itu mempunyai identiti yang mantap serta hala tuju akademik yang jelas.

“Walaupun masih pada fasa awal pembangunan, UMAM dilihat telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh jaringan pendidikan, kolaborasi ilmiah dan hubungan intelektual antara Malaysia-Indonesia,” ujar baginda.

Baginda turut menekankan bahawa kedudukan UMAM sebagai pusat pemerkasaan jaringan pendidikan tinggi ASEAN perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Jelas baginda lagi, peranan UMAM bukan  seharusnya terhad kepada penyampaian program akademik semata-mata, tetapi perlu diperluaskan kepada bidang penyelidikan, perkongsian ilmu, gerakan pemikiran dan pembinaan jaringan serantau yang mampu memberi impak bermakna kepada kemajuan masyarakat.

Ketibaan baginda disambut oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, YBrs. Prof. Dr. H. Haedar Nashir, serta Naib Canselor UMAM,  YBrs. Dr. H. Saidul Amin.

Bersempena dengan sambutan itu, turut berlangsung Seminar Antarabangsa Muhammadiyah 2025 selama dua hari dengan tema Transformative Leadership for Sustainable Muhammadiyah Higher Education yang  menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin pendidikan tinggi dan wakil perguruan tinggi Muhammadiyah (PTMA) dari dalam dan luar ASEAN.

Perbincangan seminar tersebut memfokuskan isu kepemimpinan bertransformasi dalam pendidikan tinggi, amalan terbaik pengurusan universiti serta peluang memperluas kerjasama strategik antara PTMA dan institusi serantau.

UMAM turut optimis terhadap potensi menarik banyak pelajar antarabangsa menerusi pembangunan berterusan infrastruktur akademik, pengukuhan penyelidikan dan peningkatan prasarana kampus.

Penganjuran seminar tersebut bukan hanya berpaksikan  sebuah platform bagi meraikan pencapaian UMAM sepanjang empat tahun penubuhannya, malah memperkukuh dan memperluas jaringan kerjasama akademik Muhammadiyah pada peringkat global serta memperteguh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang dinamik dan berdaya saing.

Ketibaan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, YBrs. Prof. Dr. H. Haedar Nashir serta barisan pengurusan UMAM.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi