Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan program Le Soleil: Let’s Learn and Shine Together, bagi memperkenalkan bahasa dan budaya Perancis kepada murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, baru-baru ini.
Program tersebut melibatkan sebanyak 24 orang mahasiswa UIAM Kampus Pagoh di bawah bimbingan Puan Saira Riaz serta penyertaan 58 orang murid sekolah tersebut.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah nyanyian lagu Perancis, sesi mewarna bertemakan budaya Perancis dan aktiviti membuat mini sandwic menggunakan roti baguette.
Mahasiswa UIAM turut menghasilkan pelbagai bahan pembelajaran kreatif bagi meningkatkan minat murid terhadap bahasa asing, antaranya termasuklah kad imbas, bahan pembelajaran visual dan dekorasi pondok bahasa yang direka khusus untuk menceriakan suasana pembelajaran.
Menurut Pengarah Program Le Soleil, Hannan Nurhana Mohamad Sebian, penganjuran program ini bukan sahaja memberikan pendedahan awal kepada murid terhadap bahasa asing, tetapi turut mengasah kemahiran berfikir, berkongsi idea dan bekerja secara berpasukan.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seumpama ini dapat meningkatkan keyakinan diri, kreativiti dan kemahiran sosial, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat, iaitu Pendidikan Berkualiti.
“Program ini turut berfungsi sebagai platform latihan sebenar bagi mahasiswa UIAM dalam bidang komunikasi, pengajaran dan pengurusan acara seiring dengan misi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang berkemahiran global, berdaya saing dan berjiwa masyarakat,” katanya lagi.
Menurut penganjur, aktiviti interaktif ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan pengalaman pembelajaran secara amali yang bermakna kepada murid.