Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPahang – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan isu tular seorang murid yang terpaksa meredah air banjir untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ekoran kawasan laluan dari rumah murid terbabit dinaiki air dengan deras, menyebabkan mangsa terpaksa meredah air sebelum sempat dibawa ke asrama sekolah pada hari Sabtu lepas.
JPN Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama sekolah menengah berasrama di sekitar daerah Lipis telah menyediakan pelan kontigensi awal dengan mengenal pasti bilangan murid yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan menyediakan kemudahan asrama kepada semua murid yang berada di kawasan terbabit.
“Langkah ini diambil dengan tujuan memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang kesulitan”, jelas JPN Pahang.
Dalam perkembangan lain, murid tersebut telah ditempatkan di asrama SMK Kuala Lanar dan berada dalam keadaan selamat serta bersedia untuk menduduki peperiksaan bersama-sama calon yang lain.
Sehubungan dengan itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah sentiasa memantau serta memastikan keperluan dan keselamatan calon untuk menduduki peperiksaan SPM terjamin pada musim tengkujuh ini.
JPN Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan serta semua pihak yang memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan calon.