Diterbitkan pada 25 November 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 2,507 orang calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di 14 pusat peperiksaan sekitar Putrajaya bermula pada 25 November hingga 23 Disember 2025, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP).

Sebanyak 150 orang petugas peperiksaan, termasuk pengawas sukarelawan, telah ditugaskan bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan dengan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam kenyataan itu, JPWPP mengingatkan agar semua calon merujuk jadual peperiksaan bagi mendapatkan maklumat lengkap yang meliputi tarikh, masa, kod kertas, nama kertas serta arahan penting yang perlu dipatuhi. Calon juga diwajibkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

JPWPP turut menekankan keperluan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan peperiksaan demi kelancaran pengurusan dan keselamatan sepanjang peperiksaan berlangsung.

Mengambil kira kemungkinan berlakunya bencana dan penularan penyakit berjangkit seperti Influenza-Like Illness (ILI), JPWPP memaklumkan bahawa pihaknya berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang situasi tidak dijangka.

Persiapan ini melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi antaranya termasuklah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sekiranya berlaku banjir, JPWPP akan mengaktifkan Operasi Payung (OPS Payung) bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terjejas. Melalui operasi ini, calon akan ditempatkan di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara, manakala bantuan logistik akan disalurkan untuk memastikan mereka dapat bergerak ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

JPWPP juga memaklumkan bahawa peperiksaan alternatif akan disediakan sekiranya mana-mana pusat peperiksaan asal tidak dapat beroperasi akibat bencana.

Bagi memastikan kesejahteraan mental serta emosi calon SPM, JPWPP turut menyediakan khidmat sokongan psikososial sepanjang tempoh peperiksaan.

Calon juga dinasihatkan segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya mereka tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan akibat bencana. Selain itu, calon boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan (LP) atau JPN terdekat untuk mendapatkan bantuan dan panduan lanjut.

JPWPP menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan peperiksaan SPM 2025 dapat dilaksanakan dalam keadaan lancar, selamat dan teratur, dengan mengambil kira semua aspek kebajikan calon serta petugas peperiksaan.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi