Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih sebanyak tiga pingat emas, enam perak dan satu gangsa dalam The Invention, Innovation & Design (IIDEX2025) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
IIDEX2025 merupakan acara tahunan berprestij anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UiTM, bersempena dengan Festival IDEA Putrajaya bagi memperkukuh keterlihatan penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan dalam kalangan warga universiti.
Koordinator Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialisasi (UPIK), YBrs. Puan Nur Syafiqah Rahim, berkata bahawa UiTM Perlis menampilkan sebanyak 10 produk inovasi yang dihasilkan pensyarah daripada beberapa fakulti antaranya termasuklah Fakulti Sains Gunaan (FSG), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Akademi Pengajian Bahasa (APB) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS).
Beliau berkata bahawa kejayaan pada tahun ini membuktikan kekuatan sinergi antara inovator baharu dengan inovator yang berpengalaman.
“Setiap penyelidik membawa kepakaran unik dan sinergi ini melahirkan produk berimpak tinggi yang bukan sahaja relevan kepada industri, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ketua Pasukan UiTM Perlis, YBrs. Dr. Muhammad Zharfan Mohd. Halizan pula menyifatkan kemenangan tersebut sebagai manifestasi komitmen warga akademia dalam menjayakan agenda inovasi negara.
“Kemenangan ini tidak hanya sekadar angka pingat, tetapi usaha kolektif yang berterusan juga membuktikan kemampuan UiTM Perlis dalam melahirkan inovator yang berfikir di luar kotak dalam menghasilkan penyelidikan berimpak kepada komuniti serta ekonomi,” katanya.
Antara inovasi yang meraih tumpuan juri termasuklah Model Zero-OGA PsikoHisbah ciptaan YBrs. Dr. Noraini Ismail (ACIS), yang turut memenangi pingat emas. Model berkenaan mengintegrasikan elemen psikospiritual dan hisbah kendiri bagi menangani ketagihan permainan dalam talian, serta berpotensi dijadikan modul intervensi untuk membentuk generasi celik digital yang beretika dan berdisiplin.
Turut mencuri perhatian, inovasi peta kualiti air marin oleh YBrs. Gs. Sharir Aizat Kamaruddin dari Unit Teknologi Marin Lestari dan Stesen Penyelidikan Marin (MARES). Produk tersebut membantu memantau kualiti air secara sistematik, melestarikan ekologi marin serta menyokong peningkatan pendapatan komuniti pesisir melalui pengurusan sumber yang lebih mampan.
Penganjuran IIDEX2025 bertemakan “Dari Idea ke Impak: Inspirasi IIDEX2025 @ UiTM” turut menghimpunkan penyelidik, inovator, usahawan dan industri menerusi pelbagai program seperti pameran produk inovasi, pertandingan Mini Reka Cipta, forum Advancing Islamic Finance through Innovation and Scholarly Insight, sesi Product Pitching serta resensi buku Menakluk Puncak Dunia Sentuhan Srikandi oleh YBhg. Datuk Dr.Roziah Janor.
Dengan kejayaan meraih sebanyak 10 pingat keseluruhan, UiTM Cawangan Perlis sekali lagi membuktikan kemampuan inovator muda dan berpengalaman dalam menghasilkan idea bernilai tinggi, memperkukuh jaringan penyelidikan serta memupuk budaya inovasi sebagai pemacu kemajuan masyarakat.