Diterbitkan pada 17 November 2025, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fatah Aswadi Nasri dari Jabatan Dasar dan Penyelidikan melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Pidato Ketua Pengarah bersempena dengan Sambutan Hari Integriti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 selepas berjaya menewaskan sembilan pemidato yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini. Beliau berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500.00.

Naib Johan pertandingan pula menjadi milik Azrin Eddy dari DBP Cawangan Sabah yang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 1000.00, manakala tempat ketiga disandang oleh Mohammad Sayd Samsuddin dari Jabatan Penerbitan dengan membawa wang tunai bernilai RM 700.00.

Azrin Eddy dari DBP Cawangan Sabah dinobatkan sebagai naib johan.
Tempat ketiga disandang oleh Mohammad Sayd Samsuddin.

Sementara itu, pemidato Niniefadzillea Iswandi dari DBP Cawangan Sarawak; Rabi’atuladawyah Md Saleh dari Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (Bahagian Promosi dan Pengiktirafan); Yusnizamawar Mohd Anuar dari Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (Bahagian Perkamusan); Samsiah Ismail dari Pejabat Ketua Pengarah (Bahagian Komunikasi Korporat); Zawiyah Abdul Karim dari Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) (Bahagian Pemasaran dan Pengedaran); Muhammad Faiz Ismail dari DBP Wilayah Selatan dan Mohd Hadi Roslan dari DBP Wilayah Utara masing-masing memperoleh hadiah sagu hati dengan membawa wang tunai berjumlah RM350.00 bagi setiap pemidato.

Majlis perasmian Pertandingan Pidato Piala Ketua Pengarah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang juga merupakan penaung bagi pertandingan ini.

Beliau menzahirkan rasa kesyukuran terhadap Unit Integriti DBP yang telah menjayakan program serta menyokong kelancaran pertandingan berkenaan.

Beliau turut menyokong ulasan Ketua Juri, Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universitri Kebangsaan Malaysia yang menekankan aspek pengisian, adab dan penilaian dalam pertandingan sebagai elemen penting dalam menilai mutu persembahan peserta.

“Saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) bagi meningkatkan kualiti penganjuran program DBP serta membentuk budaya integriti dalam setiap diri warga DBP pada tahun hadapan.

Tambah beliau, keutuhan integriti bukan hanya dilihat dari aspek kewangan atau salah guna kuasa, malah dilihat dari aspek pembentukan keperibadian dalam melaksanakan setiap tanggungjawab dalam sesebuah masyarakat.

Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Pada tahun ini, DBP menampilkan tema “Memperkukuh Integriti, Menjulang Maruah Organisasi” bersempena dengan Sambutan Hari Integriti DBP 2025 sebagai cerminan komitmen berterusan DBP dalam memperkukuh budaya intergiti dan tadbir urus yang cekap dan stabil selaras dengan Hari Integriti Nasional.

Yang turut hadir dalam Sambutan Hari Integriti DBP 2025 termasuklah Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Unit Integriti, Encik Mohd Zulkhairi Abdul Ghaffar; Ketua-ketua Bahagian dan  pegawai DBP .

 

Fatah Aswadi Nasri dinobatkan sebagai johan Pidato Piala Ketua Pengarah.
Kredit Foto: Zaidah binti Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi