Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Nerang – Pertandingan Boling siri pertama dan kedua anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Nami berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai peringkat umur dalam usaha mengukuhkan jalinan kerjasama dan kebersamaan antara sekolah dan komuniti setempat.
Pertandingan yang berlangsung pada bulan Oktober dan November di Dewan Budiman, SK Nami itu merupakan hasil cetusan idea oleh Penolong Kanan Kokurikulum, YBrs. Ustaz Wan Roslan Wan Ishak selaras dengan teras ketiga dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), iaitu mengukuhkan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid.
Menurut Ustaz Wan Roslan Wan Ishak, inisiatif yang dilaksanakan ini bertujuan memberikan peluang kepada komuniti setempat sekitar kependudukan di kawasan Nami untuk merasai pengalaman bermain boling tanpa perlu ke pusat boling di kawasan bandar yang lebih mahal.
“Dengan yuran serendah RM1 untuk tiga balingan, peserta dapat merasai pengalaman bermain boling. Hadiah turut disediakan kepada peserta yang berjaya melakukan jatuhan pin,” jelasnya.
Sementara itu, Guru Besar SK Nami, YBrs. Puan Azizah Nik Ishak berkata pihak sekolah sentiasa berusaha memperkukuh hubungan dengan komuniti kampung bagi mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong pembentukan ekosistem pembelajaran secara berterusan.
“Pelaksanaan Boling Siri pertama dan kedua sangat menarik kerana murid turut terlibat dalam pengendalian aktiviti, manakala guru berperanan sebagai pemantau. Peserta yang hadir pula terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan murid terdekat, sekaligus berjaya membangunkan kemahiran sosial, keyakinan diri dan kecerdasan emosi, serta menyumbang kepada kemenjadian murid,” ujarnya.
Wakil Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Nami, Encik Mohd Azman Mustaffa pula berkata bahawa aktiviti sebegini sangat baik dan perlu diteruskan kerana dapat meningkatkan kesefahaman dan memupuk perpaduan antara sekolah dengan penduduk kampung. “Aktiviti boling ini dapat memupuk rasa kebersamaan penduduk kampung berasa yakin bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada komuniti setempat,” tambahnya lagi.
Berdasarkan rekod, pembangunan sukan boling ini telah berjaya mengangkat martabat institusi pendidikan sebagai wadah penyatuan antara pihak sekolah dengan komuniti setempat.
