Diterbitkan pada 17 November 2025, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Penguasaan bahasa yang baik dalam penyampaian maklumat menjadi tumpuan utama Konvensyen Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Zon Utara, yang berlangsung selama dua hari bermula pada 15 November 2025, di Kompleks Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.

Konvensyen anjuran Ketua Penerangan MBM itu menghimpunkan barisan Ketua Penerangan Pertubuhan Belia dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara bagi meningkatkan kefahaman serta kemahiran komunikasi jawatankuasa penerangan pada peringkat negeri dan daerah.

Program tersebut memberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa, penulisan berkualiti serta pemantapan penggunaan media baharu berasaskan teknologi digital, antaranya termasuklah kecerdasan buatan (AI).

Antara pengisian utama ialah Bengkel Asas Tatabahasa dan Penulisan Artikel bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang disampaikan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry. Beliau memberikan tunjuk ajar mengenai penggunaan bahasa yang tepat, ejaan baharu, serta istilah media dan digital yang telah digubal oleh DBP.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry menerangkan aspek tatabahasa kepada peserta konvensyen.

Bengkel tersebut dibahagikan kepada dua segmen, meliputi asas tatabahasa dan penghasilan artikel serta berita menggunakan bahasa yang baik dan betul. Peserta turut didedahkan dengan platform digital DBP seperti JendelaDBP dan WadahDBP, yang menyediakan ruang penulisan berita, artikel, cerpen dan sajak.

Selain itu, peserta yang menyertai sesi latihan penggunaan aplikasi digital seperti ChatGPT, Canva dan CapCut, yang dikendalikan oleh pakar media daripada My Public Academy berjaya menghasilkan kandungan video kreatif menggunakan peribahasa dan pantun.

Sesi perkongsian berkaitan dengan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) oleh Puan Suhazlina Mohamed Samsudin.

Penganjuran konvensyen ini diharapkan dapat memperkukuh peranan Ketua Penerangan sebagai penghubung komunikasi antara MBM pada peringkat induk, negeri dan daerah, seterusnya memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat belia sentiasa tepat dan relevan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi