Diterbitkan pada 11 November 2025, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya— Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa dakwaan berlakunya kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.

KPM berkata bahawa siasatan mendapati maklumat yang tersebar hanyalah senarai tema umum dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan bukannya soalan peperiksaan sebenar.

KPM menjelaskan bahawa pihaknya mengambil perhatian serius terhadap dakwaan tersebut dan telah melakukan tindakan segera dengan meneliti bahan yang tular.

Hasil semakan mendapati senarai tema itu sebenarnya merupakan ramalan guru dan calon, sekali gus tidak memenuhi takrif kebocoran menurut prosedur pengendalian keselamatan peperiksaan.

Menurut kenyataan itu, semua kertas peperiksaan awam disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, menjadikannya tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak sebelum menjelang hari peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, KPM menasihatkan agar semua calon SPM 2025 untuk kekal tenang dan memberikan tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

KPM turut memberikan jaminan bahawa keselamatan serta kerahsiaan kertas peperiksaan akan sentiasa dipelihara bagi memastikan keadilan kepada semua calon.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi