Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Desasiswa Restu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Desasiswa Terbaik dalam Majlis Anugerah Sanjungan Desasiswa Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Setia Spice Convention Centre. Kemenangan ini bukan sahaja menandakan kecemerlangan mahasiswa, tetapi juga menunjukkan kepimpinan mahasiswa dalam menyebarkan manfaat dan memberikan inspirasi kepada komuniti.
Desasiswa Restu turut melakar kejayaan yang konsisten menerusi pencapaian luar biasa sepanjang tahun dengan merangkul lima anugerah utama. Antaranya termasuklah Anugerah Media Terbaik (TikTok), Anugerah Projek Terbaik (Kesukarelawanan) menerusi Misi Sukarelawan Thailand@Satun, Anugerah Projek Terbaik (Akademik dan Intelektual) melalui Train to Humanity (TTH) 7.0: Compassion Outreach, Anugerah Tokoh Desasiswa serta Anugerah Desasiswa Terbaik.
Program Train to Humanity (TTH) 7.0: Compassion Outreach menunjukkan bahawa mahasiswa di Desasiwa Restu sememangnya berjiwa rakyat. Melalui program ini, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) telah turun padang bagi menyantuni murid di pelbagai sekolah. Antara sekolah yang dilawati termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Sekolah Kebangsaan P. Ramlee dan Kolej Komuniti Nibong Tebal. Mereka melaksanakan aktiviti kesedaran sosial, bimbingan akademik serta program bersama-sama dengan murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan golongan rentan yang memerlukan sokongan khas.
Menurut wakil MPDR, Daniel Anak Dennis, pengalaman menyantuni murid sekolah tersebut telah membuka mata banyak peserta untuk memahami secara mendalam tentang nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

“TTH 7.0 bukan sekadar projek akademik, tetapi perjalanan yang memupuk nilai empati dan kemanusiaan. Kami belajar tentang realiti masyarakat di luar kampus, khususnya golongan PPKI yang memerlukan kasih sayang dan bimbingan. Melalui program ini, kami menjadi jambatan yang menyampaikan ilmu kepada insan,” ujar Daniel.
Sementara itu, Yang Dipertua Desasiswa Restu, Jaz Zairil Abdul Jamin@Abdul Jamil yang turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tokoh Desasiswa 2024/2025 menyifatkan pengiktirafan ini sebagai simbol perjuangan kolektif seluruh warga Restu.
“Anugerah ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh keluarga Desasiswa Restu. Setiap penghuni di sini memainkan peranan penting. Ada yang aktif di lapangan dan ada yang membantu di belakang tabir. Kami membina Desasiswa Restu dengan semangat kekeluargaan dan keikhlasan,” kata Jaz.
Tambahnya lagi, slogan “Restu Wow Hebat” bukan sekadar kata-kata semangat, tetapi falsafah yang mendorong mereka untuk terus berinovasi, berbakti dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam semua aspek seperti akademik, sosial, kepimpinan dan sahsiah.
Kemenangan Desasiswa Restu pada tahun ini menjadi simbol kecemerlangan mahasiswa yang berjiwa rakyat, berwawasan dan sentiasa menyumbang untuk kesejahteraan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti.
Majlis penganugerahan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), YBrs. Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, mewakili Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Yang turut hadir ialah YBrs. Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, barisan Majlis Penggawa Desasiswa serta para Yang Dipertua Desasiswa.