Diterbitkan pada 8 November 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Nerang – Aktiviti dinamik kumpulan yang dijalankan dalam Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami berjaya memupuk kemahiran berfikir secara kreatif, kritis serta meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan murid tahap dua sekolah berkenaan.

Program yang disertai oleh 90 orang murid itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SK Nami yang bertujuan untuk menyemai semangat kerjasama, melatih kepimpinan serta membina jati diri dan keyakinan yang penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menurut Guru Besar SK Nami, Puan Azizah Nik Ishak, amalan dan nilai yang baik perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan insan yang berguna kepada keluarga, agama, masyarakat dan negara.

Katanya,

Walaupun permainan dinamik kumpulan kelihatan mudah, namun aktiviti ini juga mencabar kerana melibatkan banyak peserta dengan pelbagai pendapat dan kerenah.

Beliau juga menyatakan bahawa untuk meningkatkan kesefahaman dalam kalangan murid, Unit Kokurikulum di sekolah ini menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk permainan agar dapat menyemai semangat bekerjasama dan mendorong murid untuk mematuhi arahan ketua.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Nami, Ustaz Wan Roslan Wan Ishak berkata, aktiviti ini merupakan pendekatan baharu yang menyokong proses pembelajaran dengan melatih murid berfikir dengan pantas, kreatif dan bermotivasi untuk menyelesaikan masalah.

Dalam aktiviti yang diadakan, kumpulan yang berjaya menyiapkan lima tugasan dalam tempoh yang ditetapkan dikira sebagai pemenang, manakala markah keseluruhan akan dikumpulkan hingga tamat perkhemahan.

Lima aktiviti yang diadakan dalam Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat Sekolah di SK Nami.

Pada akhir program, wakil murid membuat refleksi terhadap pengalaman mereka menyertai aktiviti tersebut dan mengakui bahawa program itu mengajar nilai kepimpinan serta kerjasama, walaupun terdapat kumpulan yang tidak sempat menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi