Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 7 November 2025, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seri Kembangan — “YADIM dan KAGAT akan terus bekerjasama dalam memperkukuh nilai dakwah, kenegaraan serta jati diri MADANI demi kesejahteraan ummah dan negara,” ujar Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), YBhg. Ustaz Datuk Dr. Hasan Bahrom ketika merasmikan Program Sinergi Kenegaraan  MADANI yang berlangsung di The Mines Resort, Seri Kembangan.

Program tersebut menghimpunkan 300 orang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dari sekitar Lembah Klang bagi memperkukuh kefahaman serta semangat Malaysia MADANI dalam kalangan warga pertahanan negara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah KAGAT, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Rashidi Bujai, Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. Encik Zairudin Hashim, serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua organisasi.

Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah slot “Memperkukuh Perpaduan melalui Kesejahteraan dan Hormat” yang disampaikan oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, YBrs. Encik Ahmad Saparudin Yusup, diikuti dengan slot “Adab Perbezaan Pendapat” oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Dr. Jufitri Joha.

Slot ketiga, “Forum Kenegaraan Madani Berdasarkan Madinah Al-Munawarah”, menampilkan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Kementerian Komunikasi Zon Utara, Kapten (B) Azizi Azizan, bersama-sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan dan Encik Zairudin Hashim sebagai moderator.

Tambah Datuk Dr. Hasan lagi, kerjasama strategik antara YADIM dengan KAGAT ini bukan sahaja memperkukuh nilai kenegaraan berteraskan Islam, malah turut mempererat hubungan dua institusi dakwah utama negara bagi memperkasakan semangat MADANI pada peringkat akar umbi.

Program ini turut menjadi kesinambungan kepada kejayaan siri Seminar Kenegaraan MADANI yang mula dianjurkan sejak tahun 2023, yang bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan nilai-nilai Malaysia MADANI dalam kalangan warga ATM.

Kredit Foto: YADIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi