Diterbitkan pada 5 November 2025, 22:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya — StudentQR di bawah Jaxer Digital Sdn. Bhd. melancarkan Sistem Antibuli percuma pertama di Malaysia, sekali gus memperkenalkan kaedah pelaporan insiden buli secara segera dan selamat di sekolah melalui teknologi kod respons pantas (QR code) dan pengecaman wajah. Pelancaran sistem tersebut berlangsung di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya.

Sistem inovatif ini membolehkan pelajar membuat laporan buli pada bila-bila masa, dengan maklumat yang diterima secara masa sebenar (real-time) oleh guru disiplin dan pentadbir sekolah bagi mempercepatkan tindakan susulan. Ibu bapa turut menerima notifikasi serentak bagi memastikan ketelusan dan pelibatan bersama dalam menangani kes disiplin.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Encik Syed Huzaifah Syed Omar, inisiatif tersebut merupakan komitmen syarikat dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan beretika melalui teknologi digital.

“Masalah buli bukan isu baharu, namun cara mengendalikannya perlu seiring perkembangan teknologi. Dengan sistem ini, pelajar tidak lagi takut untuk melapor kerana salurannya lebih mudah, pantas dan selamat,” katanya.

Sebelum ini, StudentQR dikenali menerusi sistem pengurusan sahsiah dan kehadiran pelajar berasaskan kod respons pantas yang digunakan oleh lebih 1.2 juta pelajar di Malaysia serta luar negara antaranya termasuklah Jepun, Indonesia dan Australia.

Sistem Antibuli ini turut dilengkapi dengan analisis tingkah laku berasaskan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pihak sekolah mengenal pasti corak awal risiko perlakuan buli selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan memperkasakan penggunaan data dalam pengurusan sekolah.

Majlis pelancaran turut menampilkan demonstrasi penggunaan “kiosk antibuli” serta perkongsian pengalaman daripada guru dan pelajar sekolah terbabit.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi