Diterbitkan pada 31 Oktober 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 413,372 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 di sebanyak 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula pada 3 November hingga 23 Disember 2025, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan, sebanyak 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik serta digerakkan di seluruh negara.

Peperiksaan dimulakan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 3 hingga 6 November 2025, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November 2025. Ujian Amali Sains pula akan dilaksanakan pada 17 hingga 19 November 2025. Seterusnya, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dijalankan pada 20 November 2025, manakala Peperiksaan Bertulis dijadualkan berlangsung dari 25 November hingga 23 Disember 2025.

KPM menasihatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi memastikan maklumat yang tepat berkaitan tarikh, waktu, kod kertas, serta arahan peperiksaan. Jadual tersebut boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan di laman lp.moe.gov.my.

Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan serta mematuhi semua prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan sepanjang peperiksaan berlangsung.

Selain itu, KPM memberikan jaminan bahawa pihaknya cakna terhadap aspek keselamatan dan kebajikan calon serta petugas, terutamanya jika berlaku bencana atau penularan penyakit berjangkit seperti Influenza-Like Illness (ILI).

Kementerian juga telah menyediakan mekanisme tindakan dan langkah persediaan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Calon yang terkesan akibat bencana diminta segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.

KPM menegaskan komitmen untuk melaksanakan peperiksaan SPM Tahun 2025 dengan teratur dan lancar demi memastikan hak pendidikan calon terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi