Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Duta Besar Libya ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Mohamed A.M. Attia menzahirkan rasa kagum dengan keindahan nilai kekeluargaan yang dirasai sepanjang lawatan kerja beliau ke Perlis.
Perkara tersebut diungkapkan ketika beliau berucap dalam program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai.
Menurutnya, meskipun beliau sudah berada di Malaysia hampir tiga tahun dan berpeluang melawat pelbagai tempat, namun lawatan ke Perlis pada kali ini memberikan pengalaman yang berbeza, sangat istimewa dan cukup mengesankan.
“Keadaan yang kami alami di sini ibarat bersama-sama dalam satu keluarga,” ujar beliau dengan penuh rasa terharu sebelum pulang ke ibu negara.
Selain itu, beliau turut memuji keperibadian mulia serta sifat rendah diri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang sentiasa mendekati, menyantuni serta berinteraksi secara mesra dengan rakyat pada setiap peringkat.
“Kami amat mengagumi perihal Tuanku berhubung dengan rakyat penuh kasih sayang dan keikhlasan,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohamed menyampaikan syarahan umum bertajuk “Membina Jambatan Ilmu: Ke Arah Perkongsian Strategik dalam Bidang Pendidikan dan Inovasi” dalam Siri Syarahan Duta di Kompleks Dewan Kuliah UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.
Pada masa yang sama, penganjuran Kayuhan MAIPs Peduli edisi kali ini turut menyaksikan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai program berkenaan.
Dalam perkembangan lain, baginda juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima asnaf terpilih, iaitu Prathin Bamrungphak dari Kampung Tengah, Che Sepiah Musa dari Kampung Seberang Alor, dan Ramli Ismail dari Kampung Pulau Ketam.
Ketiga-tiga asnaf yang terlibat menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Dato’ Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Atase Akademik Kedutaan Libya di Malaysia, Dr. Aiman A. K. Elmahmod, serta Pengawal Kewangan, Kedutaan Libya di Malaysia, Dr. Nassar Grepay.