Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-22 yang berlangsung semalam menyaksikan Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyertai persidangan secara maya bersama-sama para pemimpin ASEAN bagi menilai kemajuan hubungan dua hala dan memperkukuh Perkongsian Strategik Menyeluruh ASEAN-India. Ini merupakan penyertaan beliau yang Ke-12 dalam Sidang Kemuncak ASEAN-India sejak hubungan diplomatik itu dimeterai.

Dalam ucapannya, Modi mengucapkan tahniah kepada Timor Leste atas kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN serta mengalu-alukan delegasi negara itu yang hadir buat kali pertama sebagai ahli penuh ASEAN. Beliau turut menyatakan komitmen berterusan India dalam menyokong pembangunan modal insan di Timor Leste, khususnya dalam usaha memperkukuh kapasiti kemanusiaan dan ekonomi negara baharu itu.

Perdana Menteri India itu turut menegaskan sokongan India terhadap perpaduan dan kesepaduan ASEAN, selain menyambut baik penggubalan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menjadi panduan utama bagi hala tuju rantau ini ke arah kemakmuran, kemajuan dan keamanan bersama.

Dalam konteks ekonomi serantau, beliau menekankan bahawa semakan awal terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AITIGA) mampu membuka potensi ekonomi sepenuhnya untuk manfaat rakyat di kedua-dua rantau, di samping memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan serantau.

Dalam ucapannya juga, Modi menegaskan bahawa keganasan merupakan cabaran besar terhadap keamanan dan keselamatan global. Justeru, beliau menyeru kepada perpaduan antarabangsa dan tindakan kolektif dalam memerangi ancaman keganasan yang boleh menggugat kestabilan rantau Indo-Pasifik.

Selaras dengan tema Pengerusi ASEAN, Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”, Modi turut mengumumkan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh hubungan ASEAN-India. Antaranya termasuklah pelanjutan pelaksanaan Rancangan Tindakan ASEAN-India 2026–2030 bagi mengukuhkan Perkongsian Strategik Menyeluruh, serta penerimaan Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN-India mengenai Pelancongan Lestari bersempena sambutan Tahun Pelancongan ASEAN-India.

Beliau juga mengisytiharkan bahawa tahun 2026 akan dijadikan sebagai “Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India” bagi memajukan sektor ekonomi biru dan memperkukuh keselamatan maritim rantau ini.

Selain itu, India turut mencadangkan penganjuran Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-India dan Latihan Maritim ASEAN-India kali kedua bagi memperkukuh keselamatan maritim serantau. Beliau menegaskan bahawa India akan terus memainkan peranan sebagai negara tindak balas awal (first responder) dalam situasi krisis di rantau ini, serta memperluas kerjasama dalam kesiapsiagaan bencana dan bantuan kemanusiaan (HADR).

Dalam bidang tenaga pula, India akan melatih 400 petugas profesional dalam bidang tenaga boleh baharu bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Grid Tenaga ASEAN.

Di samping itu, India juga akan memperluas Projek Impak Segera (Quick Impact Projects, QIPs) ke Timor Leste, mencadangkan penubuhan Pusat Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nalanda bagi memperkukuh kepakaran serantau serta meneruskan kerjasama sedia ada dalam bidang pendidikan, tenaga, sains dan teknologi, teknologi kewangan serta pemuliharaan budaya.

Modi turut menekankan kepentingan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang infrastruktur, semikonduktor, teknologi baharu, unsur nadir bumi dan mineral kritikal yang menjadi tumpuan ekonomi masa depan. Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan penganjuran Festival Warisan Maritim Sidang Kemuncak Asia Timur di Lothal, Gujarat, serta satu persidangan mengenai kerjasama keselamatan maritim bagi mengukuhkan sinergi antara negara serantau.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri India sempat merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas keluwesan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 secara maya atas kekangan masa serta penyediaan penganjuran yang cemerlang.

Para pemimpin ASEAN dalam kenyataan bersama turut mengiktiraf sokongan kukuh India terhadap ASEAN serta menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan India dalam memperkukuh pelibatan dengan rantau ini melalui Dasar Pandang ke Timur (Act East Policy), yang terus menjadi tonggak utama hubungan strategik ASEAN-India dalam menghadapi cabaran global masa hadapan.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi