Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara ASEAN agar memperkukuh perpaduan, memperbaharui semangat kerjasama dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin tidak menentu semasa merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi ini.
Beliau memulakan ucapan dengan mengalu-alukan kehadiran para pemimpin ASEAN serta rakan antarabangsa ke Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar urusan rutin, tetapi suatu pilihan yang memerlukan keberanian dan kebijaksanaan.
“Kepimpinan ialah soal pilihan untuk menentukan keutamaan bersama, memperbaharui semangat ASEAN dan merangka hala tuju yang sepadan dengan harapan rakyat di rantau ini.”
Menurut beliau, tahun 2025 menuntut tindakan yang lebih besar kerana dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.
“Dunia kini terasa tidak menentu dengan tatanan lama tidak lagi pasti, manakala yang baharu belum terbentuk sepenuhnya,” ujar beliau.
“Di pelbagai rantau, terdapat pertikaian yang meningkat dan ketidakpastian yang semakin memarak bukan sahaja menguji ekonomi, bahkan juga keazaman kolektif global untuk terus percaya kepada kerjasama dan terus yakin bahawa kefahaman dan dialog masih boleh dicapai dalam era perpecahan,” tambah beliau lagi.
YAB Dato’ Seri Anwar menekankan bahawa kekuatan ASEAN bukanlah pada keseragaman, tetapi pada semangat saling menghormati dan rasional.
Beliau turut menyorot penandatanganan perjanjian damai antara Kemboja dengan Thailand di Kuala Lumpur sebagai bukti keberkesanan diplomasi serantau.
“(Perjanjian damai) mengingatkan kita bahawa pendamaian bukan satu penyerahan, tetapi satu tindakan berani, dan bahawa keamanan boleh membentuk semula masa hadapan sesebuah negara.”
Dalam ucapan beliau, YAB Dato’ Seri Anwar menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai ahli kesebelas ASEAN sebagai peristiwa bersejarah yang melengkapkan keluarga serantau ini.
Beliau menambah bahawa pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan terus disokong oleh ASEAN.
“Dalam komuniti ini, pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan mendapat sokongan kukuh dan berterusan.”
Menyentuh situasi di Myanmar, Perdana Menteri menegaskan bahawa penyelesaian konflik tidak boleh dipaksakan dari luar.
Beliau berkata, “Berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan setiap saluran dan rakan kongsi yang ada untuk mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan.”
“Namun begitu, keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksa melainkan mesti dimiliki dan dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri,” jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati oleh ASEAN selama hampir enam dekad bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik.
Antara inisiatif ekonomi utama yang diumumkan dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak termasuklah peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) bagi mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar.
Beliau juga mengumumkan penubuhan Kemudahan Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN untuk mempercepat peralihan tenaga bersih.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menekankan pembangunan ekonomi digital sebagai pemacu masa depan ASEAN.
“Dengan ekonomi digital ASEAN yang dijangka berganda kepada USD2 trilion menjelang tahun 2030, ASEAN telah bersetuju untuk mempercepat Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN menjelang tahun 2026.”
Untuk memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab, beliau mengumumkan pembentukan rangkaian keselamatan kecerdasan buatan ASEAN.
“ASEAN akan menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI (AI SAFE) bagi memupuk etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik dalam penggunaan kecerdasan buatan.”
Beliau turut mengingatkan bahawa ASEAN mesti terus bergerak maju dan menyesuaikan diri.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata, Malaysia telah menganjurkan beberapa sidang kemuncak utama tahun ini, termasuklah ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN–GCC–China.
“Esok, Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Kali Kelima akan diadakan bagi memajukan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia ke arah potensi penuhnya.”
Beliau turut menzahirkan komitmen terhadap perdagangan terbuka dan transformasi digital melalui penandatanganan perjanjian baharu bersama China.
“Penandatanganan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0 pada 28 Oktober akan menandakan babak baharu dalam perkongsian rantau ini dengan negara tersebut, menunjukkan komitmen bersama terhadap perdagangan adil, transformasi digital dan tenaga mampan.”
YAB Dato’ Seri Anwar kemudian secara rasmi mengisytiharkan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Kuala Lumpur.