Diterbitkan pada 30 Disember 2021, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – “Kita banyak belajar daripada pelbagai peristiwa, termasuklah COVID-19, banjir besar, politik dan lain-lain yang seharusnya menjadikan kita lebih cekal dan sewajarnya mendidik diri supaya memberikan lebih perhatian terhadap pelbagai aspek. Kesedaran berkaitan dengan kesihatan juga semakin meningkat dan ramai sudah peka dengan tahap kesihatan diri dan keluarga”.

Demikianlah titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mencemar duli untuk berkongsi pengalaman serta sumber pembakar semangat, selain daripada pedoman positif kepada rakyat agar bersama-sama maju ke hadapan menjelang tahun baharu ini, tahun 2022.

Baginda berharap agar rakyat segera meninggalkan perkara yang berunsur negatif dengan mengenang kembali setiap kejayaan dan pencapaian cemerlang yang diperoleh sama ada daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara sebagai panduan mengharungi cabaran pada masa hadapan.

Baginda turut bertitah,

Kita sedar kehidupan ini sentiasa menjanjikan cabaran dan perlu berusaha untuk kembali bangkit memajukan diri. Segala yang dimiliki hari ini tidak kekal, termasuklah harta benda dan perniagaan yang bila-bila masa sahaja boleh terjejas akibat penularan penyakit, bencana dan sebagainya.

Penerimaan zakat perniagaan QSR Brands (M) Holdings Bhd. bagi tahun 2021.

Tuanku Raja Muda berkenan berangkat menerima zakat perniagaan QSR Brands (M) Holdings Bhd. bagi tahun 2021 berjumlah RM50 965 yang dipersembahkan oleh Pemangku Ketua Jabatan Shariah dan Pematuhan Halal syarikat berkenaan, Hayazi Darus di Bangunan MAIPs, Kangar. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd. Nazim Mohd. Noor turut mengiringi baginda ketika penyampaian penerimaan zakat perniagaan tersebut.

Dalam kesempatan ini, Tuanku Raja Muda turut menitahkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih kepada rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan baginda seisi keluarga, dan juga kepada yang telah mempersembahkan ucapan selamat menyambut hari ulang tahun keputeraan kepada baginda pada hari ini melalui pelbagai medium, termasuklah kad, surat, WhatsApp, media sosial lain, serta cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi