Diterbitkan pada 23 Oktober 2025, 19:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Reformasi pendanaan politik di Malaysia perlu dilaksanakan segera dengan menitikberatkan aspek had sumbangan, deklarasi sumber dana, ketelusan serta pemantauan bebas bagi memastikan kebertanggungjawaban dan integriti politik dalam negara.

Demikian antara intipati perbincangan dalam program Suara dari Anjung Dewan Masyarakat bertajuk Reformasi Pendanaan Politik yang berlangsung di Anjung DBP, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini. 

Forum ini menampilkan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters Yayasan Sinar untuk Malaysia, YBrs. Puan Hajah Nurhayati Nordin sebagai ahli panel jemputan. Forum tersebut dipengerusikan oleh Pengasas Jurisprudens Watan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain.

Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri menjelaskan bahawa mekanisme pendanaan politik bukanlah perkara baharu, bahkan telah wujud sejak era awal pembentukan parti politik di Tanah Melayu pada akhir 1940-an. Pada ketika itu, katanya, pendanaan lebih bersifat sukarela dan datang daripada golongan guru serta penjawat awam yang menyumbang tenaga dan gaji bagi menggerakkan aktiviti politik.

“Dahulu, politik dijalankan atas semangat perjuangan. Pendanaan itu bukan dalam bentuk wang sahaja, malah turut melibatkan tenaga dan masa. Namun begitu, selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970-an, muncul kelompok teknokrat dan korporat yang mula membentuk jaringan ekonomi dalam politik,” katanya.

g
Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Beliau menambah bahawa sistem pendanaan politik kini telah berkembang menjadi lebih tersusun dengan adanya jawatan akauntan dan juruaudit dalam parti, namun realitinya dana politik sering kali berhubung secara langsung dengan kerajaan dan bukannya parti semata-mata. 

“Inilah ekosistem politik di Malaysia. Lazimnya kerajaan menjadi saluran utama bagi memperoleh dan menyalurkan dana, sehingga menyebabkan persaingan politik sering terikat dengan sumber kewangan,” jelasnya.

Sementara itu, Puan Hajah Nurhayati menegaskan perlunya satu akta khusus yang menyeluruh bagi mengawal aliran kewangan politik. Beliau menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik ini harus meliputi empat perkara utama, iaitu had sumbangan, pengisytiharan sumber dana, penerbitan atau pendedahan dana kepada umum, serta pemantauan bebas.

“Kita perlu undang-undang yang bukan hanya kosmetik. Undang-undang ini mesti matang dan mengambil kira realiti politik pada peringkat akar umbi. Prinsip ketelusan perlu dijadikan pegangan, dan pendanaan awam harus dipertimbangkan supaya calon baharu, wanita dan golongan orang kurang upaya (OKU) turut berpeluang bersaing secara adil,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters Yayasan Sinar untuk Malaysia, YBrs. Puan Hajah Nurhayati Nordin.

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kelewatan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik yang telah lama dibincangkan sejak tahun 2011, dan kini masih berada pada peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen. 

“Kita sudah berbincang dan bekerja keras sejak bertahun-tahun, tetapi undang-undang ini belum direalisasikan. Situasi ini menunjukkan bahawa kurangnya keseriusan politik untuk melaksanakan reformasi sebenar,” tegasnya.

Menurut beliau, amalan terbaik di beberapa negara lain seperti Finland, Belanda dan Amerika Syarikat boleh dijadikan sebagai rujukan, tetapi pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks budaya dan sistem sosial di Malaysia.

Kedua-dua ahli panel bersepakat bahawa RUU Pendanaan Politik yang bakal diperkenalkan perlu jelas menetapkan tatacara dana tersebut digunakan, termasuk peruntukan untuk operasi, latihan calon dan gaji petugas parti politik.

Puan Hajah Nurhayati turut mengingatkan bahawa integriti politik tidak boleh hanya bergantung pada undang-undang, tetapi mesti berpaksikan hati nurani dan kesedaran moral. “Kita tidak boleh hanya berbuat baik kerana takut dihukum. Kesedaran mesti datang daripada kefahaman dan keinsafan terhadap akibat perbuatan kita,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiga faktor utama yang sering mencetuskan rasuah ialah konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, dan kronisme, yang semuanya berpunca daripada kegagalan mentadbir nafsu dan moral. Oleh itu, pendidikan integriti politik perlu diperkuat di semua peringkat.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh kedua-dua ahli panel, RUU Pendanaan Politik bukan sekadar instrumen kawalan, tetapi merupakan satu langkah penting untuk membudayakan politik yang beretika, berintegriti dan berlandaskan prinsip keadilan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Bahagian Multimedia DBP, YBrs. Puan Naimah Yusof. 

Forum anjuran Bahagian Majalah yang diterajui majalah Dewan Masyarakat dan Bahagian Multimedia ini secara keseluruhannya menyeru agar reformasi pendanaan politik dilaksanakan dengan segera melalui akta yang komprehensif dan berkesan. Akta tersebut perlu memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kesaksamaan, di samping memperkukuh sistem demokrasi negara.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi