Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penerbitan dan penulisan memerlukan pertimbangan teliti serta garis panduan yang jelas bagi memastikan teknologi tersebut dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan beretika. Demikian antara kesimpulan yang dipersetujui oleh para panelis dalam Forum Penerbitan: Kecerdasan Buatan dalam Naratif Kreatif dan Keilmuan yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.

Forum anjuran DBP itu menampilkan tiga tokoh akademik dan profesional, iaitu Pengerusi Pusat Kajian Teknologi Kecerdasan Buatan, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Suhaila Zainudin; Ketua Jabatan Kecerdasan Informatik, Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UTMKL), YBrs. Profesor Madya Dr. Nurulhuda Firdaus Mohd Azmi serta Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant, YBrs. Dr. Mohamed Sabir Jamaludin. Forum tersebut dipengerusikan oleh pengacara YBrs. Encik Mohd Ismail Adnan.

Menurut Dr. Suhaila, AI perlu difahami sebagai alat bantu yang dicipta oleh manusia dan berfungsi berdasarkan data yang dimasukkan ke dalamnya. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa AI hanya mampu meniru bentuk dan struktur bahasa, bukan roh, sukma manusiawi atau nilai kemanusiaan yang melatari karya manusia.

Pengerusi Pusat Kajian Teknologi Kecerdasan Buatan, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Suhaila Zainudin.

“AI boleh menghasilkan bentuk seakan-akan pantun atau cerpen, tetapi nilai dan roh karya itu tidak sampai seperti kemampuan manusia. AI tiada kesedaran, pengalaman dan sejarah hidup seperti yang ada dalam diri manusia sebagai elemen mendalam (tidak cetek atau dangkal) pada karya kreatif,” ujar beliau.

Oleh itu, beliau menyarankan agar AI dilihat sebagai pembantu dan pencetus idea, manakala hasil janaan AI perlu melalui telahan, semakan dan penilaian manusia.

Menurutnya lagi, penulis dan editor perlu bersedia dengan ilmu serta kepekaan bahasa agar hasil akhir tetap menepati nilai kemanusiaan dan tujuan asal penerbitan.

Beliau turut menekankan keperluan menyertakan penafian (disclaimer) dalam mana-mana karya yang menggunakan bantuan AI, sama ada dalam bentuk akademik mahupun kreatif. Langkah ini, katanya, penting bagi memastikan integriti penulisan dan ketelusan kepada khalayak.

“Setiap karya perlu menyatakan dengan jelas model bahasa yang digunakan, contohnya ChatGPT, Gemini atau Copilot. Dengan cara ini, AI dapat membantu pembaca memahami bahawa karya itu tidak sepenuhnya hasil manusia, tetapi turut melibatkan bantuan teknologi,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Nurulhuda Firdaus menghuraikan secara terperinci pelbagai model AI yang digunakan dalam penghasilan kandungan, termasuk pemprosesan bahasa tabii (NLP), AI generatif dan model bahasa besar (LLM). Menurut beliau, ketiga-tiga model ini berperanan penting dalam menganalisis sentimen, menjana kandungan teks, audio dan visual, serta membentuk asas kepada pembangunan korpus bahasa.

Ketua Jabatan Kecerdasan Informatik, Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UTMKL), YBrs. Profesor Madya Dr. Nurulhuda Firdaus Mohd Azmi.

“Korpus bahasa Melayu masih sangat terhad bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia (dengan bahasa Indonesia) dan Brunei. Penyelidikan kini sedang digerakkan ke arah membangunkan korpus digital dan kamus digital berasaskan model LLM yang boleh membantu proses pembelajaran dan pemeliharaan bahasa,” katanya.

Beliau menambah bahawa perkembangan ke arah AI neuromorfik, iaitu teknologi AI yang meniru cara otak manusia berfikir dan membuat keputusan, turut membuka ruang baharu kepada bidang kesusasteraan dan penerbitan.

“AI cuba meniru kecerdasan tabi‘i manusia. Dalam konteks sastera, fenomena ini memberi peluang untuk memahami kaedah yang digunakan oleh otak manusia untuk menghasilkan idea dan naratif. Namun begitu, nilai budaya, seni dan emosi masih perlu digarap oleh manusia,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Dr. Mohamed Sabir menegaskan bahawa penggunaan AI dalam penulisan, khususnya dalam konteks sejarah dan tamadun Islam, perlu disertai dengan pemahaman terhadap nuansa budaya dan emosi.

Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant, YBrs. Dr. Mohamed Sabir Jamaludin.

“AI tidak mempunyai budaya, emosi atau seni. Hal ini disebabkan AI hanya memahami bahasa mesin. Oleh itu, apabila menulis sejarah atau naratif dramatik, manusia perlu memberi input yang menggambarkan suasana, emosi dan konteks peristiwa agar hasilnya tidak bersifat mekanikal,” jelas beliau.

Menurutnya, AI boleh membantu menjana struktur naratif atau idea asas, tetapi kreativiti manusia tetap diperlukan untuk “menghidupkan” teks dengan perasaan, suasana dan makna.

“Kalau kita suruh AI menulis kisah peperangan, tanpa panduan manusia hasilnya hanya berbunyi seperti manual kereta yang tonanya mendatar dan tanpa jiwa. Manusialah yang memberikan warna kepada naratif itu,” katanya lagi.

Forum anjuran Bahagian Multimedia DBP ini mencerminkan komitmen DBP dalam membincangkan isu semasa berkaitan dengan penerbitan digital, seiring dengan revolusi kecerdasan buatan yang semakin pesat.

Forum ini turut menekankan perlunya polisi dan piawaian jelas dalam penggunaan AI bagi sektor penerbitan dan pendidikan. Hal ini termasuk peranan badan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam menetapkan standard penggunaan AI dalam pembelajaran dan penulisan akademik.

Dr. Suhaila mencadangkan agar penulis, editor dan penggiat industri penerbitan dilatih dengan kefahaman asas AI, manakala pakar bahasa turut didedahkan kepada pengetahuan teknologi bagi membina ekosistem penerbitan yang seimbang antara kemajuan dan nilai insani.

“Pakar AI perlu faham bahasa, dan pakar bahasa pula. perlu faham AI. Ini ibarat kitaran telur dan ayam yang saling bergantung untuk menghasilkan karya beretika dan bermakna,” katanya.

Pengerusi forum, Encik Mohd Ismail Adnan menyimpulkan bahawa dengan kesedaran dan garis panduan yang jelas, AI boleh menjadi alat berdaya guna dalam memperkaya naratif kreatif dan keilmuan, tanpa mengorbankan integriti penulisan serta nilai kemanusiaan yang menjadi nadi karya sastera dan ilmu.

Pengerusi forum, Encik Mohd Ismail Adnan membuka forum dengan persoalan sama ada mekarnya pembudayaan AI dalam industri kreatif bakal memalapkan peluang pejuang ekonomi jingga.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang mewakili Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan warga DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi