Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 00:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pekan – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Pahang 2025 Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) berjaya memupuk kesedaran murid tentang ejaan kata yang betul dan tepat serta meningkatkan penguasaan bahasa murid.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdullah, Pekan, Pahang pada pagi semalam telah dilaksanakan oleh Bahagian Majalah DBP dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah, Akademi DBP, Bahagian Multimedia DBP, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan.

Daerah Pekan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian makanan tempatan. Antaranya termasuklah martabak. Menurut Kamus Dewan Perdana, ejaan yang betul bagi makanan ini ialah “martabak”, dan bukannya “murtabak”. Walau bagaimanapun, kebanyakan premis masih menggunakaan ejaan yang salah, iaitu “murtabak”. Begitu juga dengan murid yang menyertai Program Kembara MDK ini.

Perkongsian mengenai ejaan yang betul ini disampaikan oleh Editor Dewan Pelajar, Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman melalui aktiviti “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa (ByB, ByB)”.

Murid bersemangat ingin menjawab soalan yang ditanyakan oleh Editor Dewan Pelajar.

Sementara itu, Program Kembara MDK turut dilaksanakan untuk pelajar sekolah menengah melibatkan majalah Dewan Siswa. Taklimat bagi program ini disampaikan oleh Encik ‘Azimin Daud, Editor Pelita Bahasa. Dalam sesi taklimat tersebut, beliau memperkenalkan kepada pelajar tentang teknik menulis cerpen dan puisi.

Pada masa yang sama, Bengkel MDK untuk Guru telah disampaikan oleh Encik Abdul Ghani Abu dengan pelibatan sebanyak 45 orang guru yang terdiri daripada guru sekolah menengah dan sekolah rendah sekitar daerah Pekan. Mereka diberikan bimbingan dan panduan khusus tentang cara menggunakan majalah DBP sebagai medium pembelajaran interaktif di dalam bilik darjah.

Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan guru sekolah menengah dan sekolah rendah.

Pengisian Program Kembara MDK ini menarik perhatian Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, PPD Pekan, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Norazizi Fain semasa beliau menyampaikan ucapan perasmian.

Selain itu, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah dalam ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa Program Kembara MDK ini telah memperkaya pengetahuan murid tentang penggunaan bahasa yang betul.

Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK Bersempena dengan DMK yang berlangsung di SMK Tengku Abdullah Pekan, Pahang.

Penganjuran program ini berjaya menghimpunkan sebanyak 64 orang murid sekolah rendah dari 16 buah sekolah untuk MDK Dewan Pelajar dan 91 orang pelajar sekolah menengah dari tujuh buah sekolah untuk MDK Dewan Siswa.

Yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK ini termasuklah, Ketua Akademi DBP, YBrs. Puan Mariati Josepha Mustafa, Pengetua SMK Tengku Abdullah, YBrs. Encik Mohd Shahir Seni, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, YBrs. Encik Mohd Radzi Md Isa, guru penolong kanan dan barisan editor DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi