Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelawati – Kemeriahan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2025 terserlah apabila program Eksplorasi Bahasa yang berlangsung pada Ahad mendapat penyertaan yang menggalakkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati, pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan sebanyak 90 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak kelainan upaya.
Berorientasikan konsep didik hibur, pertandingan ini menampilkan pelbagai cabaran interaktif yang berkaitan dengan kebahasaan dan kesusasteraan seperti radio karat, ejaan betul, melengkapkan pantun, cari perkataan, bina perkataan, teka silang kata serta teka nama sasterawan negara.
Pendekatan kreatif diketengahkan dalam pertandingan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk bersaing secara sihat dan bekerjasama dalam pasukan bagi menyelesaikan tugasan permainan bahasa yang diadakan.

Sementara itu, pertandingan tersebut menyaksikan kumpulan Kejora dinobatkan sebagai juara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM 1,000.00 dan diikuti kumpulan Amanah Rakyat di tempat kedua (RM800.00) dan The Seekrs di tempat ketiga (RM500.00).
Peserta yang berjaya memenangi pertandingan berkenaan turut membawa pulang hadiah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari.
Program Eksplorasi Bahasa anjuran DBP tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan badan tersebut untuk mendekati dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain memperkukuh pengetahuan menerusi pengalaman yang menyeronokkan.
